JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia memaklumkan kira-kira 3.3 juta warga emas di kawasan sekitar Gunung Anak Krakatau, termasuk Banten, Lampung Selatan, Jakarta dan sebahagian Jawa Barat, berdepan risiko kesihatan berpunca daripada debu gunung berapi, sekali gus menekankan kepentingan langkah mitigasi segera, lapor agensi berita Antara.
“Zarah silika tajam yang terkandung dalam debu gunung berapi menjadikannya berbahaya kepada paru-paru, mata dan kulit. Apabila bercampur dengan air, debu berkenaan boleh mengeras seperti simen, jadi pembersihan yang tidak betul sebenarnya boleh meningkatkan risiko,” kata Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Kumpulan Rentan kementerian itu, Imran Pambudi, di sini pada Isnin.
Imran menekankan bahawa pendedahan kepada debu gunung berapi boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan, termasuk jangkitan saluran pernafasan akut, kesukaran bernafas, serta memburukkan lagi penyakit asma dan penyakit paru-paru kronik (COPD). Ia juga boleh meningkatkan risiko kardiovaskular, termasuk risiko serangan jantung dan strok.
Menurut Imran, kesan debu gunung berapi boleh dirasai serta-merta, manakala asap daripada kebakaran hutan dan tahan cenderung memberikan implikasi jangka panjang terhadap sistem pernafasan dan kardiovaskular.
“Mata boleh menjadi pedih, berair dan merengsa, manakala kulit boleh gatal dan meradang. Warga emas juga mungkin mengalami kekeliruan dan penurunan tumpuan berikutan pendedahan yang berpanjangan. Trauma akibat pemindahan secara tiba-tiba dan pengasingan sosial boleh menambah beban psikologi,” katanya.
Beliau berkata Gunung Anak Krakatau telah meletus beberapa kali sepanjang dua dekad lepas.
Pada 2018, letusan gunung berapi itu mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 400 nyawa.
Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, kekal pada Tahap 3 (Siaga) sejak 2 Julai, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat di Indonesia, dengan zon larangan sepanjang tiga kilometer dikuatkuasakan di sekeliling gunung berapi itu.
Sementara itu, pada September 2026, debu gunung berapi berkenaan telah merebak ke beberapa bahagian di Lampung, Banten, Jakarta dan Jawa Barat.
Menurut Imran, letusan gunung berapi mendatangkan risiko kesihatan kepada orang ramai, terutamanya warga emas yang merupakan antara kumpulan paling rentan.
Justeru, langkah mitigasi yang komprehensif perlu dilaksanakan, katanya.
Orang ramai perlu menggunakan pelitup muka dan pelindung mata, menutup sebarang laluan atau bukaan di rumah bagi mengelakkan debu masuk, serta membersihkan debu dengan cara yang betul.
Beliau turut mengingatkan keluarga dan penjaga warga emas agar memastikan bekalan ubat-ubatan sentiasa sedia ada, memantau sebarang tanda amaran, dan memberikan sokongan emosi.
Selain itu, kemudahan perkhidmatan kesihatan perlu menyediakan pemekat oksigen, ubat-ubatan, salap, ubat titik mata dan anggota yang bersedia untuk pemindahan kecemasan, katanya.
Kredit sumber: BERNAMA-ANTARA/Astro AWANI
