TELUPID, 9 September 2026 – Empat individu maut selepas Proton Saga BLM yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori Isuzu dalam kemalangan di Kampung Gambaron, Telupid, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.28 pagi itu, kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung ketika masing-masing bergerak dari arah bertentangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Nurazlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.28 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 93 kilometer dari balai.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 9.33 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu serta Proton Saga BLM.
“Empat mangsa berada di dalam Proton Saga dan semuanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Identiti keempat-empat mangsa masih belum diperoleh dan semua mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, pemandu lori terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan KKM di lokasi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat yang turut membabitkan JBPM, PDRM, APM dan KKM selesai sepenuhnya pada jam 9.58 pagi.
Pasukan bomba kemudiannya memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan tiada sebarang risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan.
Pihak bomba turut memaklumkan bahawa kawasan kejadian tidak mempunyai liputan rangkaian GIRN dan telefon. – DAKWAT RAKYAT POST
