KUALA SELANGOR – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah membabitkan penahanan seorang juruterbang bersama dadah bernilai kira-kira RM45 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Julai lalu.
Suspek terbaharu, juruterbang warga Malaysia berusia 30-an itu ditahan di sekitar Lembah Klang, dua hari lalu, menjadikan keseluruhan tujuh individu ditahan di negara ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berkenaan bekerja dengan syarikat penerbangan berbeza.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan mengurus aliran wang antara sindiket berkenaan dengan pegawai kedua penerbangan yang ditahan di Jakarta.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai sudah terbabit kira-kira setahun dan membantu memindahkan wang yang mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket,” katanya pada sidang media di Puncak Alam pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, siasatan dijalankan terhadap seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai lalu.
Suspek ditahan selepas dipercayai membawa 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul disyaki ekstasi dan methamphetamine, dengan berat keseluruhan kira-kira 25 kilogram serta nilai dianggarkan RM45 juta.
Susulan penahanan itu, sepasukan pegawai JSJN berkunjung ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos lalu bagi menjalankan soal siasat terhadap suspek selain bertukar maklumat dengan pihak berkuasa Indonesia.
Hasil maklumat dan risikan itu kemudiannya membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 50 tahun dalam operasi khas yang dijalankan dari 20 hingga 28 Ogos lalu.
Hussein berkata, wang yang dikendalikan suspek dipercayai merupakan hasil jualan dadah.
“Dia menguruskan wang yang diperoleh daripada hasil jualan dadah dan wang itu disalurkan melalui suspek.
“Dalam erti kata lain, dia terbabit dalam pengurusan hasil daripada jualan dadah,” katanya.
Ditanya sama ada kegiatan berkenaan boleh dikategorikan sebagai pengubahan wang haram, Hussein mengesahkan perkara itu.
Beliau turut mengesahkan hasil siasatan mendapati sindiket terbabit mempunyai rangkaian antarabangsa.
Hussein berkata, pihaknya keenam-enam suspek yang ditahan sebelum ini berperanan sebagai pembekal dan penghantar kepada juruterbang berkenaan, selain menduduki peranan di peringkat ‘upline’ dan ‘downline’ dalam rangkaian pengedaran dadah terbabit.
Kesemua mereka kemudiannya ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi membantu siasatan lanjut terhadap sindiket berkenaan.
Kredit sumber: Sinar Harian
