Bhubaneswar: Penemuan lima anak orang utan di kawasan hutan berhampiran perkampungan di daerah Balasore, Odisha di India menggemparkan penduduk hingga ribuan orang berpusu ke lokasi dalam tempoh sejam selepas berita mengenainya tersebar.
India bukan habitat semula jadi orang utan, sebaliknya haiwan itu spesies asli Asia Tenggara yang habitat asalnya terletak di Borneo dan Sumatera.
Susulan itu pihak berkuasa India menyiasat kemungkinan haiwan berkenaan diseludup ke negara terbabit menerusi rangkaian penyeludupan hidupan liar antarabangsa.
Memetik laporan The Indian Express, haiwan berkenaan ditemui penduduk yang sedang merayau di kawasan hutan sebelum berita penemuannya tersebar meluas.
Jabatan Hutan Balasore kemudian bertindak pantas menyelamatkan kesemua anak orang utan itu dan membawanya ke pejabat hutan untuk pemeriksaan lanjut.
“Empat daripada lima anak orang utan itu berada dalam keadaan sihat… boleh makan dan minum cecair hidrasi (ORS) untuk pemulihan.
“Doktor veterinar sedang memeriksa dan merawat haiwan itu sambil dipantau oleh pegawai hutan,” kata pegawai hutan Pratik Prakash Indalkar.
Katanya, kesemua orang utan itu dipercayai masih muda berdasarkan saiznya yang hanya antara 0.3 hingga 0.45 meter tinggi.
Namun, penemuan itu menimbulkan persoalan bagaimana haiwan berkenaan boleh berada di Odisha, dengan Indalkar memaklumkan kemungkinan haiwan berkenaan berhijrah secara semula jadi adalah sangat rendah.
Menteri Hutan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Odisha, Ganesh Ram Singh Khuntia berkata, Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCCB) akan menjalankan siasatan kemungkinan pembabitan sindiket antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, operasi pencarian di kawasan hutan berhampiran turut dilaksana bagi mengesan kehadiran orang utan lain atau bukti kegiatan penyeludupan.
Kesemua orang utan itu kini dipindahkan ke Taman Zoologi Nandankanan di Bhubaneswar untuk proses kuarantin.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
