BANGKOK: Seorang anggota polis Thailand dipercayai menembak mati isterinya yang bekerja sebagai guru di sebuah tadika di wilayah Chonburi, tenggara Bangkok, semalam.
Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan di sebuah tadika di kawasan Nong Pla Lai.
Pengerusi Majlis Subdaerah Nong Pla Lai, Sayan Klomaon, berkata anggota polis terbabit datang ke sekolah sebelum bercakap dengan isterinya.
Lelaki itu kemudian dipercayai melepaskan tembakan terhadap isterinya.
Mangsa ditembak di luar bilik darjah menyebabkan tiada kanak-kanak melihat kejadian berkenaan secara langsung, menurut Sayan kepada AFP.
Selepas kejadian, suspek meninggalkan sekolah dan pulang ke rumahnya.
Polis kemudian mengepung kediaman suspek dan berusaha berunding bagi memujuknya menyerah diri.
Dalam satu kenyataan, Gabenor Chonburi, Naris Niramaiwong, mengesahkan kesemua 44 kanak-kanak berjaya dipindahkan ke tempat selamat, bersama tiga guru dan tiga kakitangan lain.
Tiada kanak-kanak dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Susulan insiden berkenaan, tadika tersebut diarahkan ditutup sementara, manakala sokongan psikologi akan diberikan kepada kanak-kanak dan kakitangan yang terkesan.
Motif kejadian masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa.
Insiden itu berlaku ketika Thailand masih berdepan kebimbangan terhadap keganasan bersenjata. AFP melaporkan Thailand mempunyai antara kadar pemilikan senjata api tertinggi di rantau ini, dengan beberapa insiden tembakan berprofil tinggi berlaku sejak kebelakangan ini.
Pada 2022, seorang bekas anggota polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerang sebuah pusat jagaan kanak-kanak di utara Thailand, mengorbankan 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa.
Kredit sumber: AFP
