JAKARTA – Jabatan Kastam dan Eksais di Bali menggagalkan cubaan menyeludup 10.4 kilogram jongkong emas bernilai 26 bilion rupiah (RM6 juta) ke Hong Kong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, lapor agensi berita ANTARA.
“Emas tersebut disembunyikan pada badan penumpang untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” kata Ketua Jabatan Kastam dan Eksais Ngurah Rai, Wawan Dharmawan baru-baru ini.
Seorang lelaki warga China dikenali sebagai ZG ditahan pada Ahad lepas sebelum dia berlepas ke Hong Kong dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific.
Menurut Dharmawan, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai seorang penumpang disyaki membawa jongkong emas dan dijadualkan berlepas dari Indonesia menerusi lapangan terbang berkenaan pada Ahad lepas.
Pasukannya bekerjasama dengan imigresen, pihak keselamatan lapangan terbang serta pegawai lain di terminal pelepasan untuk menjalankan pengawasan.
Mereka mendapati ZG berkelakuan mencurigakan dan segera membuat pemeriksaan ke atasnya sebelum menemukan beberapa bungkusan berwarna coklat yang mengandungi 14 jongkong emas.
Ujian lanjut di Pusat Makmal Kastam Surabaya (BLBC) untuk Unit Perkhidmatan Ngurah Rai mengesahkan barangan tersebut adalah emas dengan tahap ketulenan melebihi 99 peratus.
Suspek berdepan hukuman 10 tahun penjara dan denda sebanyak 5 bilion rupiah (RM1.1 juta).
Kredit sumber: AGENSI/Kosmo! Online
