MOGADISHU – Sebuah kapal komersial bersama 17 anak kapal yang diculik dan dijadikan kapal induk oleh lanun Somalia sejak April lalu akhirnya dibebaskan selepas wang tebusan dibayar, menurut sumber keselamatan di wilayah Puntland, Somalia.
Berdasarkan data Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), kawasan Teluk Aden dan pesisir pantai Somalia menyaksikan kemunculan semula ancaman lanun sejak bulan April, dengan sekurang-kurangnya 15 serangan direkodkan tahun ini, jumlah tertinggi sejak tahun 2013.
Kapal MV Sward dirampas pada 26 April oleh lelaki bersenjata di luar pantai Somalia bersama anak kapal yang terdiri daripada 15 warga Syria dan dua warga India yang dijadikan tebusan.
Kumpulan lanun tersebut menggunakan kapal berkenaan untuk menawan sekurang-kurangnya dua buah kapal menangkap ikan milik Iran dan sebuah kapal kargo berbendera Cameroon, MV Lutuf.
Menurut sumber keselamatan Puntland, lanun tersebut telah membebaskan kapal berhampiran Garacad, sebuah pelabuhan di Puntland, iaitu wilayah semi-autonomi di pantai timur laut Somalia.
“Anak kapal masih berada di dalam kapal tetapi kumpulan lanun tersebut telah menuju ke darat dan menaiki beberapa buah kenderaan sebelum memasuki Garacad.
“Mereka menerima wang untuk membebaskan kapal tersebut,” tambah sumber itu tanpa mendedahkan jumlahnya.
Kenderaan telah sedia menunggu lanun-lanun berkenaan di darat sebelum mereka tiba di Garacad.
“Ini membuktikan mereka mungkin telah berhubung dengan rangkaian mereka di darat semasa berada di laut,” kata seorang lagi sumber keselamatan Puntland.
Sumber keselamatan Puntland memberitahu AFP pada akhir Ogos bahawa wang tebusan sebanyak AS$2.5 juta (RM10 juta) telah dibayar untuk membebaskan M/V Lutuf, manakala AS$40,000 (RM160,000) dibayar untuk membebaskan kedua-dua kapal menangkap ikan milik Iran tersebut.
Kerajaan Somalia menyatakan bahawa Lutuf dibebaskan berikutan ‘tekanan ketenteraan berterusan’ oleh tentera laut Turki dan angkatan tentera Somalia, yang menyaksikan empat buah bot lanun dimusnahkan dan 14 orang lanun terbunuh.
Kredit sumber: AFP/Kosmo! Online
