Kozhikode, India: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan ulama terkemuka merangkap Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad, di Jamia Markaz di sini, dalam usaha Malaysia memperkukuh hubungan keagamaan, pendidikan dan ekonomi dengan India Selatan.
Sheikh Abubakr Ahmad menyifatkan pertemuan itu sebagai satu interaksi yang membuahkan hasil menerusi hantaran di platform X.
Anwar menerima sambutan mesra ketika tiba di Markaz di Karanthur, Kozhikode, sebelum turut mengadakan pertemuan dengan ulama terkemuka, Kanthapuram A P Aboobacker Musliyar.
Dalam pertemuan tertutup bersama Kanthapuram, Anwar membincangkan pertukaran pendidikan antara Markaz dan institusi pengajian tinggi Malaysia, selain potensi kerjasama dalam bidang pendidikan, kebudayaan, ilmu pengetahuan serta kebajikan masyarakat India di Malaysia, menurut ANI News.
Selepas pertemuan itu, Anwar menghadiri jamuan makan malam yang dianjurkan oleh Mufti Besar berkenaan, yang turut menghimpunkan tokoh terkemuka daripada sektor agama, politik, sosial, kebudayaan dan perniagaan.
Perdana Menteri kemudiannya mengunjungi Madavoor C M Valiyullah Dargah, antara lokasi ziarah penting di India Selatan.
Anwar tiba di Kozhikode selepas menyertai Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja lima hari beliau ke India.
Ketua Menteri Kerala, V D Satheesan, menyambut ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Karipur, Kozhikode.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, sepanjang lawatan kerja berkenaan.
Sebelum tiba di Kerala, Anwar menerusi media sosial berkata beliau menjangkakan lawatan itu dapat memacu kemajuan dalam bidang perdagangan, pelancongan, pelaburan, kerjasama ekonomi, pendidikan dan kesalinghubungan antara Malaysia dan India.
Lawatan sulung Anwar ke Kerala sebagai Perdana Menteri dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-India, khususnya dengan negeri-negeri di India Selatan yang mempunyai hubungan ekonomi, pelancongan serta hubungan rakyat dengan Malaysia.
Konsul Jeneral Malaysia ke India Selatan, K Saravana Kumar, berkata kepakaran Kerala dalam bidang Ayurveda, selain perkembangan integrasi perubatan tradisional dengan penjagaan kesihatan moden, berpotensi membuka peluang kepada Malaysia untuk membangunkan sektor pelancongan kesihatan dan kesejahteraan.
Beliau berkata sektor pelancongan turut menawarkan ruang yang besar untuk kerjasama lebih erat berikutan aliran pelawat yang kukuh antara Malaysia dan India Selatan, khususnya Kerala dan Tamil Nadu.
Saravana berkata lawatan Perdana Menteri dijangka memberikan momentum baharu kepada pembabitan Malaysia dengan India Selatan, selain membuka peluang untuk memperluas kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Hari ini Anwar dijadual menghadiri program tertutup di Tulah Clinical Wellness, tempat beliau akan bermalam selama satu malam.
Beliau kemudian dijadual mengadakan pertemuan dengan Satheesan dan Gabenor Kerala, Rajendra Vishwanath Arlekar, di Tulah Clinical Wellness bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam sektor utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan serta pendidikan.
Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan perniagaan serta pertemuan dengan tokoh industri dan korporat terkemuka India.
Perbincangan itu dijangka mengenal pasti peluang baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama komersial.
Selepas selesai lawatan ke Kerala, Anwar dijadual berlepas ke Maldives hari ini.
Lawatan kerja berkenaan dijangka memberikan dorongan lanjut kepada Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-India, selain membuka peluang memperluas kerjasama berimpak tinggi, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi digital serta pendidikan.
Kredit sumber: Harian Metro
