COTABATO: Tiga terbunuh manakala 15 lagi cedera selepas insiden tembakan berlaku beberapa jam sebelum pusat pengundian dibuka pada Isnin di sebuah wilayah autonomi majoriti Islam di selatan Filipina.
Kejadian berlaku ketika wilayah Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM) bersiap mengadakan pilihan raya bagi memilih Parlimen pertamanya.
Pilihan raya itu menjadi kemuncak kepada proses perdamaian yang bermula secara tidak konsisten sejak akhir 1990-an dan akhirnya membawa kepada penubuhan BARMM di selatan negara berkenaan.
Ketua Polis Cotabato, Jibin Bongcayao berkata, kejadian berlaku hampir tengah malam ketika anggota dua kumpulan politik yang bersaing berebut hak untuk mengundi terlebih dahulu.
“Pada mulanya, ia hanya perebutan tempat dalam barisan antara dua kumpulan,” katanya mengenai kejadian di luar sebuah sekolah yang dijadikan pusat mengundi di ibu negeri itu. Keadaan membawa kepada tolak-menolak, kemudian tercetus pergaduhan sebelum tembakan dilepaskan di kawasan yang sesak.”
Bongcayao berkata, lelaki terbabit dipercayai anggota parti politik yang bersaing dan mempunyai kaitan dengan kumpulan Moro Islamic Liberation Front (MILF), yang selama beberapa dekad memperjuangkan autonomi wilayah di negara majoriti penganut Katolik itu.
BARMM sejak sekian lama berdepan keganasan politik dan pertelingkahan berdarah antara keluarga berpengaruh.
Pemimpin parti sebelum ini memberitahu wartawan AFP yang melawat wilayah berkenaan bahawa pilihan raya yang berlangsung aman akan dianggap sebagai satu kejayaan.
Tahap keselamatan dipertingkatkan di seluruh BARMM sejak beberapa hari lalu, dengan lebih 20,000 anggota keselamatan dikerahkan ke kawasan pengundian.
Pasukan tindak balas pantas turut disediakan bagi menangani sebarang kemungkinan keganasan.
Kredit sumber: AFP/Buletin TV3
