KUNAK, 15 September 2026 – Karnival Pendidikan Madani 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kunak dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama antara warga pendidikan, ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan strategik dalam memperkasa agenda pendidikan.
Pegawai Pendidikan Daerah Kunak, Dr Suharpi Lasuddang berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar menghimpunkan aktiviti, pertandingan, pameran dan persembahan, sebaliknya memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk bergerak secara bersama dalam menyokong pembangunan pendidikan.
Katanya, penglibatan pelbagai pemegang taruh penting bagi memastikan dasar dan inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh serta memberi manfaat kepada murid dan masyarakat.
“Karnival ini turut menjadi ruang untuk menyampaikan dasar, inisiatif dan program pendidikan kepada masyarakat selain menggalakkan perkongsian ilmu, inovasi dan amalan terbaik antara sekolah, agensi kerajaan, komuniti serta rakan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Karnival Pendidikan Madani 2026 anjuran PPD Kunak yang berlangsung di Dewan SJK(C) Pai Sheng, Sabtu lalu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri (Sektor Pengurusan Sekolah), Krishna @ Mohd Fadzli Abd Rozan yang mewakili Pengarah Pendidikan Sabah, Abidin Marjan; Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Rejali Angong serta pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.
Suharpi berkata, kejayaan penganjuran karnival tidak wajar dinilai hanya berdasarkan jumlah kehadiran atau kemeriahan aktiviti yang berlangsung.
Sebaliknya, katanya, ukuran lebih penting ialah sejauh mana program tersebut mampu menghasilkan perubahan, idea baharu dan tindakan yang dapat diteruskan selepas karnival berakhir.
Beliau berharap warga pendidik yang mengambil bahagian dapat memperoleh inspirasi serta pendekatan baharu untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran murid.
Pada masa sama, katanya, penglibatan ibu bapa diharapkan dapat meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab mereka dalam membantu perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak.
“Murid dan pelajar pula diharap mendapat inspirasi untuk merancang masa depan berdasarkan minat, bakat dan potensi masing-masing, manakala rakan strategik dapat meningkatkan komitmen dalam membantu sekolah memperkasa pendidikan,” katanya.
Menurut Suharpi, tahun 2026 merupakan tempoh penting dalam hala tuju pendidikan negara berikutan bermulanya pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang membawa tema “Memacu Lonjakan Pendidikan Negara”.
Kerangka tersebut memberi penekanan kepada usaha “Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih Kejayaan Bersama” menerusi beberapa bidang utama termasuk kualiti pendidikan, akses dan ekuiti, pembangunan murid, profesionalisme pendidik, kurikulum, teknologi digital, kerjasama pihak berkepentingan serta tadbir urus.
Sehubungan itu, Suharpi mengingatkan warga pendidikan di Kunak supaya dasar dan aspirasi berkenaan tidak hanya difahami pada peringkat konsep, tetapi diterjemahkan kepada tindakan yang jelas di sekolah dan dalam masyarakat.
Katanya, guru kekal sebagai komponen penting dalam memastikan perubahan dan transformasi pendidikan dapat dilaksanakan dengan berkesan walaupun dunia pendidikan terus berkembang dari segi teknologi, kurikulum dan sistem pentaksiran.
“Guru bukan hanya bertanggungjawab menyampaikan ilmu, tetapi juga membimbing murid, mengenal pasti potensi mereka serta memberikan sokongan ketika berdepan cabaran dalam pembelajaran.
“Kejayaan murid juga perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira pencapaian dalam bidang akademik, sukan, seni, teknologi, kemahiran teknikal dan keusahawanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diketengahkan sebagai salah satu pilihan pendidikan yang mampu membantu murid membina masa depan berdasarkan kecenderungan dan kebolehan masing-masing.
Mengulas perkembangan teknologi pula, Suharpi berkata generasi muda perlu diberikan bimbingan supaya mampu menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara kritis, beretika, selamat serta bertanggungjawab.
Menurutnya, pembangunan pendidikan turut perlu bergerak seiring dengan aspek keselamatan, kesejahteraan dan pembentukan sahsiah murid.
Beliau berkata, usaha menangani isu buli misalnya memerlukan penglibatan bersama antara pihak sekolah, guru, murid dan ibu bapa bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat serta kondusif.
“Pendekatan ini penting supaya sekolah menjadi tempat yang selamat, sejahtera dan mampu menyediakan suasana pembelajaran yang bermakna kepada murid,” katanya.
Suharpi turut menekankan keperluan memperkukuh penglibatan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti dalam pendidikan anak-anak.
Katanya, tanggungjawab membentuk generasi masa depan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah kerana keluarga dan masyarakat turut memainkan peranan besar.
Menurutnya, keluarga mempunyai pengaruh penting dalam membentuk sahsiah, kemahiran berkomunikasi, kebijaksanaan menggunakan teknologi, keupayaan menyelesaikan masalah serta daya tahan anak-anak dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Beliau berharap hubungan antara keluarga, sekolah dan komuniti dapat terus diperkasakan melalui lebih banyak program yang memberi peluang kepada ketiga-tiga pihak untuk bekerjasama secara langsung.
Karnival Pendidikan Madani PPD Kunak tahun ini turut menghidangkan 17 aktiviti yang merangkumi aspek pembangunan fizikal, intelek, emosi, rohani dan sosial, selain mengetengahkan elemen kepimpinan serta kemahiran.
Program itu turut mendapat sokongan daripada pempamer, institusi pengajian tinggi, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO), rakan strategik dan komuniti setempat.
Suharpi berkata, penglibatan pelbagai pihak berkenaan membuktikan bahawa usaha membangunkan pendidikan memerlukan gerak kerja bersama dan tidak terhad kepada institusi sekolah semata-mata.
“Penganjuran Karnival Pendidikan Madani 2026 diharap menjadi pencetus kepada pembentukan ekosistem pendidikan yang lebih terbuka, dinamik dan mampu bertindak balas terhadap perubahan serta keperluan generasi masa hadapan,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
