KOTA KINABALU, 15 September 2026: Aktivis dan penganalisis politik, Atan Leecas, menggesa Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, menarik balik kenyataan yang didakwa menggunakan kisah seorang paderi dan biarawati Katolik sebagai bahan jenaka ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026).
Atan berkata, beliau memandang serius perkara berkenaan kerana ia menyentuh soal sensitiviti agama, adab serta penghormatan terhadap penganut agama lain dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Menurutnya, kisah yang dibawa dalam ucapan berkenaan didakwa memaparkan seorang paderi menghantar seorang biarawati pulang sebelum diselitkan unsur berbaur seksual ketika menukar gear kenderaan.
Kisah itu kemudiannya dikaitkan dengan rujukan kepada Mazmur 129 sebagai sebahagian daripada jenaka berkenaan.
Atan berkata, penggunaan tokoh keagamaan dalam cerita sedemikian tidak seharusnya dijadikan bahan untuk mencetuskan gelak ketawa dalam mana-mana majlis politik.
“Ini bukan soal politik UMNO, GRS, WARISAN, kerajaan atau pembangkang. Ini soal adab, sensitiviti agama dan rasa hormat terhadap penganut agama lain,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 14 September 2026.
Beliau berkata, dalam sebuah negara yang dihuni masyarakat berbilang agama, pemimpin politik perlu lebih berhati-hati ketika menyampaikan ucapan, terutama apabila menyentuh perkara berkaitan kepercayaan dan institusi agama.
Katanya, paderi dan biarawati mempunyai kedudukan tersendiri dalam kehidupan masyarakat Katolik dan tidak wajar digambarkan sebagai watak dalam jenaka berunsur seksual.
“Bagi penganut Katolik, mereka merupakan sebahagian daripada institusi dan kehidupan keagamaan yang mempunyai kedudukan serta penghormatan tersendiri.
“Apabila figura keagamaan itu dimasukkan dalam cerita berunsur seksual untuk mendapatkan gelak ketawa, tidak menghairankan sekiranya ada penganut Kristian yang berasa tersinggung,” katanya.
Atan turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebebasan untuk mempermainkan agama atau kepercayaan pihak lain.
Menurutnya, perbezaan pandangan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengetepikan batas sensitiviti agama.
Beliau berkata, seseorang pemimpin bebas mengkritik kerajaan, pembangkang, parti politik atau dasar tertentu, namun perkara berkaitan agama perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.
Dalam pada itu, Atan turut membangkitkan persoalan mengenai ketepatan rujukan agama yang digunakan dalam jenaka tersebut.
Katanya, berdasarkan laporan media, ungkapan yang disebut sebagai “Mazmur 129” didakwa tidak terdapat dalam Mazmur 129.
“Sekiranya agama mahu dijadikan contoh atau analogi, sekurang-kurangnya pastikan rujukan yang digunakan adalah tepat.
“Nama kitab suci, ayat atau simbol agama tidak sepatutnya dipetik secara sewenang-wenangnya hanya untuk menghasilkan punchline atau mendapatkan tepukan,” katanya.
Atan berkata, Noorazli wajar tampil memberikan penjelasan secara terbuka selain menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf kepada penganut Kristian, khususnya komuniti Katolik yang mungkin berasa tersinggung.
Katanya, tindakan memohon maaf tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya menunjukkan kematangan dan keberanian seorang pemimpin untuk mengakui kesilapan.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa kritikan tersebut tidak bertujuan menyerang UMNO secara keseluruhan atau mengaitkan semua ahli parti dengan kenyataan berkenaan.
“Saya tidak menyeru kepada kebencian terhadap UMNO dan tidak mengatakan seluruh ahli UMNO bersetuju dengan kenyataan tersebut.
“Sebaliknya, saya menyeru supaya Datuk Noorazli Said tampil secara terbuka, menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepada penganut agama Kristian yang tersinggung,” katanya.
Atan turut menolak alasan bahawa perkara tersebut sekadar jenaka, dengan menegaskan bahawa humor juga mempunyai batas, khususnya apabila melibatkan agama dan kepercayaan masyarakat.
Beliau berkata, Malaysia terdiri daripada masyarakat Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh serta penganut agama dan kepercayaan lain yang hidup bersama dalam satu negara.
Katanya, hubungan antara masyarakat yang berbeza agama perlu dipelihara dan pemimpin politik daripada semua parti mempunyai tanggungjawab untuk memastikan percakapan mereka tidak mencetuskan ketegangan atau perpecahan.
Atan turut berharap perkara itu tidak dijadikan alasan untuk mewujudkan permusuhan antara penganut agama.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan seorang individu tidak wajar dijadikan ukuran terhadap keseluruhan agama, bangsa atau parti politik.
Dalam pada itu, beliau menggesa UMNO mengambil pendekatan bertanggungjawab terhadap isu berkenaan dan melihatnya sebagai peluang untuk menunjukkan kematangan politik dalam menangani perkara yang menyentuh sensitiviti agama.
Menurutnya, perbezaan politik adalah perkara biasa dalam demokrasi, namun keharmonian masyarakat perlu sentiasa menjadi keutamaan.
“Politik hanya sementara, tetapi keharmonian rakyat adalah untuk generasi.
“Jawatan politik boleh berubah, parti boleh berubah dan kerajaan juga boleh berubah. Tetapi rakyat Malaysia tetap perlu hidup bersama,” katanya.
Atan sekali lagi menyeru Noorazli supaya mengakui penggunaan kisah paderi dan biarawati dalam bentuk berkenaan adalah tidak wajar serta membuat permohonan maaf secara terbuka.
Beliau berkata, seseorang pemimpin tidak dinilai semata-mata berdasarkan kebolehan berucap atau mempertahankan pendirian, tetapi turut berdasarkan keberanian mengakui kesilapan dan mengambil langkah membetulkannya.
“Jangan jadikan agama bahan ketawa. Jangan jadikan paderi dan biarawati bahan jenaka seksual. Jangan gunakan kitab suci agama orang lain tanpa memahami konteksnya.
“Hormati agama, hormati penganutnya, hormati Malaysia,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
