LAHAD DATU: Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Peringkat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu 2026 yang diadakan di Darvel Bay Plaza, semalam, berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung serta mendapat sambutan positif daripada komuniti setempat.
Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang itu menghimpunkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai aspek pencegahan dan tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran.
Antara pengisian yang disediakan ialah pameran kebombaan, ceramah keselamatan kebakaran, demonstrasi memadam kebakaran api dapur akibat kebocoran tong gas serta latihan penggunaan alat pemadam api.
Pameran kebombaan menjadi antara tarikan utama apabila pengunjung diberi peluang melihat dengan lebih dekat pelbagai peralatan operasi yang digunakan pasukan bomba selain mendapat penerangan mengenai sistem pepasangan keselamatan kebakaran di bangunan.
Turut mendapat perhatian ialah ruang pameran kerjaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memberi maklumat kepada orang ramai mengenai peluang menyertai perkhidmatan kebombaan.
Selain itu, wakil lot kedai, pengusaha restoran dan pengunjung turut berpeluang menyertai demonstrasi pengendalian kebakaran api dapur, termasuk cara mengawal kebakaran yang berpunca daripada kebocoran tong gas menggunakan teknik yang betul.
Kemuncak program berlangsung pada sebelah petang menerusi ceramah kesedaran keselamatan kebakaran yang disampaikan Ketua BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada 11 ahli Skim Teman Pili Bomba, tiga pengerusi Pasukan Bomba Komuniti serta penyerahan simbolik mock key sebuah kenderaan pacuan empat roda kepada Pasukan Bomba Sukarela Silabukan bagi membantu operasi pasukan berkenaan.
Dalam ceramahnya, Sumsoa menegaskan setiap anggota komuniti mempunyai dua tanggungjawab penting, iaitu mencegah kebakaran dan bertindak sebagai first responder ketika insiden kebakaran pada peringkat awal.
Beliau berkata, langkah pencegahan perlu dimulakan dengan mengenal pasti serta menghapuskan sebarang risiko kebakaran di premis atau lot perniagaan masing-masing.
Menurutnya, pengetahuan dan keyakinan untuk menggunakan alat pemadam api dengan betul mampu membantu mengawal kebakaran daripada merebak sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan mengenai pelaksanaan pindaan 2025 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), khususnya berkaitan keperluan pendaftaran syarikat yang menjalankan kerja mereka bentuk, membekal, memasang dan menyelenggara sistem serta peralatan kebombaan.
Katanya, setiap syarikat yang terlibat diwajibkan berdaftar dengan JBPM dan mempunyai sekurang-kurangnya seorang competent person yang diiktiraf jabatan, dengan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat sejak awal tahun ini.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak bomba sekiranya mengesan syarikat, kontraktor atau individu yang tidak berdaftar menjalankan kerja membekal atau menyelenggara alat pemadam api.
Program berkenaan diakhiri dengan sesi praktikal penggunaan alat pemadam api jenis debu kering, sekali gus memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik pemadaman api secara selamat dan berkesan. – DAKWAT RAKYAT POST
