KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyatnya di perantauan apabila menyantuni 80 ibu tunggal asal Sabah yang menetap di Kuala Lumpur menerusi bantuan tunai RM500 setiap seorang.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, YB Datuk Julita Majungki berkata, bantuan itu antara usaha kerajaan negeri mendekati golongan berkenaan selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian walaupun menetap jauh dari negeri kelahiran.
Katanya, meskipun jumlah bantuan yang disalurkan tidak besar, ia diharap dapat meringankan beban penerima selain menjadi tanda bahawa kerajaan Sabah tidak melupakan rakyatnya di Semenanjung Malaysia.
“Sedikit manapun bantuan itu, nilainya RM500 bagi setiap ibu tunggal. Kita mahu mereka tahu bahawa sebagai orang Sabah, mereka tidak dilupakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menyantuni Ibu Tunggal Asal Sabah Yang Menetap di Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur.
Hadir sama, Timbalan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal, Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Maria Chong serta Pengarah Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, Dayang Norsiah Duraman.
Menurut Julita, Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur memainkan peranan penting sebagai pusat rujukan rakyat Sabah di Semenanjung, khususnya dalam menyelaras urusan serta mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.
Beliau turut menggalakkan ibu tunggal asal Sabah yang menetap di Kuala Lumpur supaya mengambil peluang mendapatkan manfaat daripada pelbagai program bantuan yang disediakan kerajaan Persekutuan.
Katanya, rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung juga berhak menikmati kemudahan dan inisiatif bantuan kerajaan Persekutuan tanpa mengira negeri asal mereka.
“Kita semua rakyat Malaysia dan berhak mendapat manfaat daripada apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.
“Jangan fikir kita hanya rakyat Sabah dan tidak boleh menikmati bantuan yang disediakan di sini. Ambillah inisiatif untuk mengetahui program yang ditawarkan oleh kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif kerajaan Sabah termasuk bantuan tunai SYUKUR sebanyak RM200 sebulan kepada golongan yang layak serta Program Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu rakyat yang memerlukan kediaman.
Pada masa sama, beliau menasihatkan golongan ibu tunggal supaya terus tabah menghadapi cabaran kehidupan di bandar raya selain memberikan perhatian terhadap pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak.
Katanya, institusi keluarga yang kukuh penting bagi memastikan anak-anak membesar dengan nilai dan didikan yang baik meskipun berhadapan pelbagai cabaran persekitaran.-DAKWAT RAKYAT POST
