Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan ahli perniagaan, Albert Tei untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin, menolak permohonan berkenaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Albert yang nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan pertuduhan terbabit membangkitkan isu perlembagaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Ahli perniagaan berusia 37 tahun itu berdepan empat pertuduhan memberi wang tunai berjumlah RM140,000 serta perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.
Rasuah berkenaan didakwa sebagai dorongan untuk Shamsul Iskandar membantu syarikat yang mempunyai kepentingan Albert mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.
Albert turut didakwa memberikan RM64,924 kepada Shamsul Iskandar di sebuah bank di Country Heights, Kajang, antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.
Kesemua lima pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kredit sumber: Harian Metro
