PENAMPANG: Seorang pembonceng motosikal berusia 45 tahun meninggal dunia dua hari selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Putatan-Ramayah berhampiran Kampung Ulu Putatan, pada 5 November lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, ASP Arisanti Aziz berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.50 tengah malam dan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 22 tahun serta motosikal yang ditunggang lelaki berusia 28 tahun bersama mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan.
Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, pembonceng berkenaan disahkan meninggal dunia pada 7 November.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Arisanti turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan ketika memandu. – DAKWAT RAKYAT POST
