LUMUT: Kementerian Pertahanan belum membuat keputusan muktamad mengenai cadangan perolehan sistem peluru berpandu krus supersonik BrahMos dari India.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata cadangan yang dibangkitkan ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini, akan dikaji terlebih dahulu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Bukan sahaja perdana menteri, malah menteri lain juga ketika mengadakan lawatan ke mana-mana, akan ada banyak pihak yang mahu menjual pelbagai perkara.
“Kita akan mengkajinya untuk setiap perkhidmatan. Jika ini untuk peluru berpandu udara-ke-permukaan, ia berada di bawah tentera udara. Kita akan mengkaji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Angkatan Tentera ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia kini mengendalikan jet pejuang Sukhoi yang dilengkapi peluru berpandu berserta jarak jangkauan dan kos tertentu dan jika ada cadangan, pihaknya akan merujuk TUDM untuk penilaian.
Katanya, penilaian itu juga akan mengambil kira implikasi mengintegrasi sistem peluru berpandu yang dicadangkan dengan peralatan sedia ada, termasuk sama ada penambahbaikan diperlukan untuk jet pejuang Sukhoi.
Beliau berkata, peluru berpandu sedia ada mempunyai jarak jangkauan kira-kira 100 kilometer, manakala sistem dicadangkan mempunyai jarak jangkauan antara 300 kilometer hingga 400 kilometer.
Anwar sebelum ini mengesahkan negara sedang meneroka kemungkinan untuk memperoleh sistem peluru berpandu udara ke permukaan BrahMos, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperkukuh pertahanan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan India.
Anwar berkata, potensi perolehan itu sudah dibincangkan ketika mesyuarat dua halanya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang keputusan perolehan akhirnya akan ditentukan oleh Angkatan Tentera Malaysia, berdasarkan keperluan operasi dan teknikalnya.
Sistem BrahMos ialah peluru berpandu krus supersonik berkuasa ramjet jarak jauh yang dibangunkan bersama oleh Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) India serta NPO Mashinostroyeniya dari Rusia menerusi syarikat usahasama mereka, BrahMos Aerospace.
Peluru berpandu itu boleh dilancarkan daripada pelbagai platform, termasuk pelancar mudah alih di darat, kapal perang, kapal selam dan pesawat pejuang, sekali gus memberi fleksibiliti kepada pengendali dalam menjalankan serangan tepat terhadap sasaran di laut dan di darat.
Kredit sumber: Berita Harian
