Kuala Lumpur: Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi mengurangkan kesan jerebu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaksanakan hari ini serta esok.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, OPA dilaksanakan berikutan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) bagi parameter PM2.5 di kawasan melebihi 150 untuk tempoh lebih 24 jam berdasarkan bacaan dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurutnya, kerajaan melalui NADMA dengan kerjasama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan OPA.
“Operasi membabitkan kerjasama agensi berkaitan dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM sebagai aset utama bagi pelaksanaan pembenihan awan,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Meor Ismail menjelaskan operasi itu adalah antara usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kesan jerebu dan memperbaiki keadaan kualiti udara di kawasan terjejas.
“Pelaksanaan operasi tertakluk kepada keadaan cuaca dan kewujudan awan yang sesuai bagi proses pembenihan.
“NADMA bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan keadaan cuaca semasa bagi memastikan tindakan yang bersesuaian dapat diselaraskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sehingga 1 tengah hari ini, situasi jerebu di Malaysia menunjukkan 20 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (bacaan 101–200).
Mengikut Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), kawasan tertinggi dengan IPU tidak sihat adalah Serian, Sarawak iaitu 170.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan, selain Serian, Kuching turut merekodkan bacaan tinggi iaitu 169, diikuti Seri Manjung, Perak; Sri Aman dan Samarahan, Sarawak masing-masing 163.
Turut merekodkan bacaan tidak sihat adalah Sibu (158), Shah Alam (156), Batu Muda (154), Cheras dan Putrajaya (153), Nilai dan Larkin (151) serta Sarikei (151).
“Johan Setia merekodkan IPU 133, diikuti Bintulu (127), Petaling Jaya (119), Bukit Rambai (117), Kapit (110), Tanjung Malim (107) dan Tawau (103),” menurut kenyataan itu.
Kredit sumber: Harian Metro
