SANDAKAN: Cerun Bukit Sim-Sim di sini runtuh lagi malam tadi, membabitkan kawasan sepanjang kira-kira 150 meter.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.05 malam, dengan pergerakan tanah dan batu dikesan di kawasan cerun berkenaan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala runtuhan itu tidak menjejaskan laluan jalan raya.
Lokasi kejadian terletak kira-kira 100 meter dari kawasan sebuah batu besar yang sebelum ini jatuh dan menutup Jalan Buli Sim-Sim pada April tahun lalu.
Susulan penilaian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan bersama agensi teknikal, Jalan Buli Sim-Sim dari kawasan tokong menghala ke Taman Grandview ditutup mulai 20 hingga 26 September.
Laluan pendakian Bukit Sim-Sim berhampiran Astana Heights turut ditutup sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan keselamatan orang awam.
Timbalan Presiden I Majlis Perbandaran Sandakan, Irman Tajuddin Edy, berkata keputusan menutup laluan itu dibuat bagi membolehkan penilaian keselamatan dilaksanakan.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana mencadangkan dan telah menetapkan dan untuk keselamatan orang awam kita akan menutup jalan ini selama seminggu dan bahagian cerun JKR akan membuat penilaian bila keadaan ini, jalan ini boleh dilalui untuk keselamatan orang awam.”
JPBD Sandakan berkata, kawasan berkenaan masih perlu dipantau, terutama sekiranya hujan berterusan yang boleh menyebabkan pergerakan tanah atau batuan.
Cawangan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) akan meneruskan penilaian sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pembukaan semula kawasan terbabit.
Insiden pada April tahun lalu pula membabitkan sebuah batu besar berukuran kira-kira empat meter tinggi dan 11 meter panjang yang jatuh ke Jalan Buli Sim-Sim. – DAKWAT RAKYAT POST
