TAWAU, 20 September 2026 – Kemiskinan haid perlu dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat bagi memastikan golongan remaja, khususnya pelajar perempuan, tidak berasa malu atau terpinggir apabila berdepan masalah berkaitan pengurusan haid.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, kefahaman yang betul mengenai pengurusan haid amat penting bagi membolehkan remaja menjaga kebersihan diri serta mendapatkan bantuan sekiranya berdepan kekangan kewangan.
Menurutnya, kemiskinan haid bukan sekadar berkaitan ketiadaan tuala wanita, sebaliknya turut merangkumi kekurangan akses kepada kemudahan kebersihan, tempat pelupusan yang sesuai dan keperluan asas lain sepanjang tempoh haid.
Katanya, isu haid masih dianggap sensitif oleh sesetengah masyarakat, sedangkan ia merupakan proses biologi normal yang dialami wanita.
“Perkara ini masih sukar dibincangkan kerana terdapat anggapan bahawa haid adalah sesuatu yang tabu. Sedangkan ia adalah proses biologi yang normal dan sebahagian daripada kehidupan wanita.
“Kita mahu memberi kefahaman kepada pelajar bahawa mereka tidak seharusnya berasa asing atau malu apabila menghadapi masalah berkaitan haid kerana mereka bukan seorang sahaja yang mengalaminya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bicara Madani: Kemiskinan Haid Peringkat Daerah Tawau 2026 di sini, hari ini.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) dan SMK Tawau II itu disertai kira-kira 250 pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun.
Rina berkata, pendedahan mengenai pengurusan haid perlu diberikan sejak peringkat awal supaya remaja mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menjaga kebersihan diri, terutama ketika mengalami haid buat kali pertama.
Menurutnya, pengalaman haid pertama boleh menjadi cabaran kepada sesetengah remaja sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan atau sokongan yang mencukupi.
“Yang penting, mereka perlu tahu cara menjaga kebersihan diri sepanjang tempoh haid, terutama ketika menghadapi haid pertama.
“Mereka juga perlu memahami bahawa mereka tidak bersendirian dan terdapat pihak yang boleh dirujuk untuk mendapatkan maklumat serta bantuan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rina berkata, kemudahan mendapatkan maklumat pada masa kini boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran golongan remaja mengenai pengurusan haid yang betul.
Katanya, maklumat yang sahih dan mudah difahami perlu disediakan supaya remaja tidak bergantung kepada sumber yang tidak diketahui kesahihannya.
“Pada masa sekarang, pelbagai maklumat boleh diperoleh dengan mudah. Kita tidak lagi boleh menganggap perkara berkaitan haid perlu disembunyikan.
“Sebaliknya, kita perlu memastikan golongan remaja mendapat maklumat yang tepat dan boleh dipercayai sebagai panduan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak inisiatif bantuan diwujudkan bagi membantu pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan keperluan asas pengurusan haid.
Rina berkata, sekolah juga boleh mempertimbangkan penyediaan tuala wanita secara percuma atau pada harga berpatutan di tandas pelajar perempuan sebagai satu bentuk bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan boleh membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan, khususnya apabila berlaku keadaan tidak dijangka ketika berada di sekolah.
“Kalau boleh, sekolah menyediakan kemudahan tuala wanita yang mudah diperoleh di tandas pelajar perempuan, sama ada secara percuma kepada mereka yang benar-benar memerlukan atau pada harga yang rendah.
“Kita memahami bahawa kos sara hidup semakin meningkat dan harga barangan keperluan seperti tuala wanita juga memberi beban kepada sesetengah keluarga,” katanya.
Rina berkata, Program Bicara Madani berkenaan merupakan antara usaha awal dalam meningkatkan kesedaran mengenai kemiskinan haid dan wajar diperluaskan kepada lebih ramai golongan remaja.
Katanya, pendidikan berkaitan pengurusan haid bukan sahaja penting dari aspek kebersihan diri, malah dapat membantu membina keyakinan remaja untuk mendapatkan bantuan tanpa rasa malu.
Beliau berharap kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan dapat diteruskan bagi memastikan isu kemiskinan haid diberi perhatian sewajarnya.
“Jangan jadikan haid sebagai perkara yang memalukan untuk dibincangkan. Sebaliknya, kita perlu memberikan pendidikan dan sokongan supaya setiap remaja dapat melalui proses ini dengan pengetahuan, keyakinan dan maruah,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
