KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan nisbah 50:25:25 antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi menangani jurang pembangunan serantau dan nasional.
Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Mohd. Anuar Ghani Gilong, berkata nisbah itu perlu mula ditetapkan menerusi Belanjawan 2027.
Menurutnya, bagi 2026, peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak masing-masing berjumlah RM6.9 bilion dan RM6 bilion daripada keseluruhan RM81 bilion.
Katanya, jumlah itu masing-masing hanya mewakili 8.5 peratus dan 7.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan, manakala Malaya menerima RM68.1 bilion atau 84.1 peratus.
“Bagi 2025 pula, peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak masing-masing ialah RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion daripada jumlah RM86 bilion, masing-masing hanya mewakili 7.8 peratus dan 6.8 peratus, atau keseluruhannya 14.6 peratus.
“Ini bermakna Malaya menerima 85.4 peratus atau RM73.4 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pada penghujung setiap tahun kewangan, peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak tidak dibelanjakan sepenuhnya, menyebabkan baki tersebut ditarik balik untuk digunakan pada tahun berikutnya.
“Keadaan ini seterusnya mengurangkan impak sebenar peruntukan pembangunan kepada kedua-dua negeri,” katanya.
Mohd. Anuar berkata, Malaysia mempunyai keluasan tanah kira-kira 330,803 kilometer persegi, dengan Malaya meliputi 131,590 kilometer persegi, Sabah kira-kira 73,631 kilometer persegi dan Sarawak 124,450 kilometer persegi.
Katanya, dari segi peratusan, keluasan Malaya adalah kira-kira 39.8 peratus, Sabah 22.3 peratus dan Sarawak 37.6 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meliputi baki kawasan seluas 1,402 kilometer persegi atau 0.3 peratus.
“Melihat kepada jurang dalam peruntukan serta keluasan wilayah, tidak menghairankan sekiranya Sabah dan Sarawak terus menjadi antara negeri yang paling miskin di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi 2025, Sabah mencatat RM31,125 manakala Sarawak RM73,757, berbanding purata nasional RM59,167.
“Kuala Lumpur mencatat KDNK per kapita tertinggi negara sebanyak RM144,898,” katanya.
Menurutnya, tahap keterbelakangan pembangunan di Sabah masih besar, termasuk gangguan bekalan elektrik dan air yang masih kerap berlaku.
“Lebih membebankan rakyat, banyak kawasan luar bandar di Sabah masih tidak mendapat bekalan air terawat dan penduduk kampung terpaksa bergantung kepada sumber air graviti dari kawasan hulu di pedalaman bukit,” katanya.
Beliau berkata, keadaan jalan raya dan kerja-kerja penyelenggaraannya juga tidak lebih baik, dengan lubang jalan terdapat di seluruh negeri.
Mohd. Anuar berkata, seruan Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, supaya ketidakseimbangan dalam peruntukan pembangunan antara wilayah dihentikan dan digantikan dengan formula yang adil serta saksama adalah tepat pada masanya dan amat diperlukan.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
