Besut: Seorang tukang rumah meninggal dunia selepas terjatuh dari bumbung sebuah kediaman yang masih dalam pembinaan di Peringkat 2, Felda Tenang, di sini, jam 12.45 tengah hari, hari ini.
Ketika kejadian, mangsa, Zulkarnan Alias, 56, yang berasal dari Kampung Bukit Payong, Jertih, dekat sini, sedang menjalankan kerja memasang atap.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, mangsa dikatakan mengadu pening sebelum pitam dan terjatuh ke bahagian dalam rumah menyebabkannya tidak sedarkan diri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat, punca kematian adalah kecederaan pada dada dan abdomen akibat terjatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikesan.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 22 September 2026
