KOTA KINABALU, 24 September 2026 – Seramai 36 pelajar PASTI Al-Khawarizmi berpeluang merasai pengalaman berada di atas kapal penguat kuasa apabila menyertai Program Lawatan Sambil Belajar ke Kapal Maritim (KM) Banggi, semalam.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), lawatan berkenaan turut disertai guru serta ibu bapa para pelajar.
Menerusi kunjungan itu, para pelajar diberi kesempatan meninjau ruang dan kemudahan yang terdapat di KM Banggi, selain mendapatkan pendedahan mengenai peranan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta keamanan perairan negara.
Mereka turut menerima penerangan berkaitan aspek keselamatan dan operasi kapal, termasuk mengenali fungsi beberapa kemudahan penting yang terdapat di KM Banggi seperti Combat Information Centre (CIC).
Program berkenaan memberi peluang kepada pelajar mengenali dengan lebih dekat tugas serta tanggungjawab warga Maritim Malaysia dalam melaksanakan penguatkuasaan dan menjaga keselamatan perairan negara.
Lawatan tersebut turut diserikan dengan sesi bergambar antara para pelajar dan warga KM Banggi sebelum diakhiri dengan pertukaran cenderamata sebagai kenang-kenangan.
Menurut Maritim Malaysia, pengalaman berkenaan diharapkan dapat menjadi kenangan bermakna kepada para pelajar, selain menyemai minat mereka terhadap bidang dan dunia maritim sejak usia muda. – DAKWAT RAKYAT POST
