KUALA LUMPUR – Pemandangan indah dari sisi lain Gunung Kinabalu yang jarang diketahui orang ramai mencuri perhatian selepas seorang pendaki dari Croatia berkongsi ratusan gambar sepanjang tempoh lapan hari terkandas di gunung berkenaan.
Aktivis masyarakat, Mohd Fadli Salleh menerusi satu hantaran di Facebook berkata, beliau sendiri tidak menyangka terdapat lokasi yang begitu cantik di Gunung Kinabalu meskipun sudah 43 tahun hidup.
Menurutnya, pemandangan berkenaan didedahkan selepas pendaki terbabit, Mauro Persic diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas lapan hari terkandas di gunung itu.
“Mauro Persic ini mendaki Gunung Kinabalu secara haram, tidak menggunakan perkhidmatan malim gunung dan tidak mempunyai permit.
“Dia masuk melalui Sungai Mesilou dan terus mendaki,” katanya di Facebook hari ini.
Mohd Fadli berkata, pada hari kelapan pendakian, Mauro terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter sehingga mengalami kecederaan pada kaki, patah tulang rusuk serta luka di tangan.
Pendaki itu bagaimanapun sempat menghantar isyarat kecemasan (SOS) sebelum berjaya dikesan dan diselamatkan kira-kira 40 anggota pasukan SAR.
“Mauro didenda RM25,000 kerana menceroboh Gunung Kinabalu tanpa permit dan tidak melalui laluan yang ditetapkan.
“Dia turut meminta maaf kepada kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat kerana menyusahkan ramai pihak,” katanya.
Menurut Mohd Fadli, Mauro turut berkongsi gambar yang dirakam sepanjang pendakiannya, sekali gus mendedahkan pemandangan Gunung Kinabalu dari sudut yang jarang dilihat orang ramai.
Katanya, perkongsian itu turut mengejutkan ramai termasuk rakyat Sabah dan individu yang pernah mendaki Gunung Kinabalu kerana mereka sendiri tidak mengetahui kewujudan lokasi dengan pemandangan sedemikian.
“Ratusan gambar dan video lokasi menarik di Gunung Kinabalu yang tidak pernah orang ramai lihat kini terdedah,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa keindahan kawasan berkenaan tidak bermakna orang ramai boleh memasuki atau mendaki Gunung Kinabalu sesuka hati tanpa permit dan tanpa mengikuti laluan serta prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Kredit sumber: MalaysiaTribune
