BERA – Kerajaan negeri kerugian sebanyak RM387.8 juta akibat ketirisan hasil pembersihan hutan susulan penerokaan haram di Hutan Simpan Kekal, Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera.
Difahamkan, kerugian itu adalah berdasarkan nilai stumpej yang dikira untuk mengenal pasti royalti, premium pokok hutan dan digunakan bagi membayar ganti rugi pokok hutan.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Pahang, Dr. Grippin Akeng berkata, anggaran kasar itu adalah berdasarkan nilai anggaran RM55,400 bagi setiap hektar tanah yang diteroka.
“Jika merujuk nilai stumpej bagi Pahang, RM55,400 perhektar didarab dengan nilai keluasan tanah yang diteroka dianggarkan 7,000 hektar bersamaan dengan RM387.8 juta.
“Bagaimanapun, nilai ini merupakan anggaran kasar dan jumlah sebenar hanya dapat ditentukan selepas bancian terperinci dilakukan di lapangan,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan Tapak Ramsar yang diiktiraf sejak tahun 1994 itu kini berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.
Pencerobohan itu dipercayai dilakukan oleh dalang atau sindiket berselindung di sebalik nama Orang Asli yang mempergunakan golongan tersebut melalui penggunaan isu tanah adat dan kawasan rayau etnik itu bagi membuka tanah secara haram.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
