PAPAR – Sabah masih memerlukan subsidi elektrik daripada kerajaan Persekutuan selepas 2030 bagi memastikan proses transformasi dan kestabilan bekalan tenaga di negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, subsidi berterusan itu diperlukan kerana kerajaan negeri masih berdepan isu legasi bekalan elektrik yang tidak mampu diselesaikan dalam tempoh singkat selepas mengambil alih kuasa kawal selia sektor berkenaan pada 2024.
“Dalam tempoh dua tahun ini sudah pastinya isu-isu legasi tidak dapat diselesaikan dan ia akan mengambil masa, bukan juga lima tahun, bukan juga 10 tahun.
“Maka kita mengharapkan dalam tempoh proses transformasi dilaksanakan ini, Kerajaan Persekutuan dapat terus memberikan bantuan subsidi elektrik khususnya subsidi sokongan tarif dan juga subsidi bahan api,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pengoperasian Pencawang Pembahagi Utama (PPU) Benoni di sini pada Khamis.
Menurut beliau lagi, kerajaan Persekutuan wajar mempertimbangkan dua faktor utama dalam menentukan keperluan meneruskan subsidi elektrik kepada Sabah sepanjang tempoh transformasi berkenaan.
“Pertama, tahap prestasi dan juga isu legasi yang diwarisi oleh kerajaan negeri. Kita baru ambil alih dua tahun, sebelum ini berpuluh tahun, lebih 40 tahun kerajaan Persekutuan yang berkuasa dari segi kawal selia itu.
“Jadi kita harap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi berterusan, bukan hanya tahun ini, bukan hanya ditingkatkan tahun ini, tetapi jumlah yang berwajarlah,” katanya.
Armizan berkata, Sabah turut memerlukan subsidi elektrik tambahan bagi tahun ini susulan kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan terhadap kos bahan api termasuk diesel.
Katanya, kebergantungan Sabah terhadap diesel bagi tujuan penjanaan dan pengagihan bekalan elektrik menyebabkan peningkatan harga bahan api itu memberi implikasi besar terhadap kos serta keperluan subsidi.
“Jadi saya selaku Ahli Parlimen Papar ingin merayu kepada kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan pemberian subsidi elektrik tambahan kepada kita di Sabah ini untuk tahun ini disebabkan oleh kenaikan kos bahan api.
“Subsidi ini juga melibatkan implikasi kewangan yang disasarkan mencecah ratusan juta juga,” katanya.
Kredit sumber: Sinar Harian
