KOTA KINABALU, 7 Oktober 2026 – Perasmian Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 menjadi wadah penting dalam memperkukuh komitmen kerajaan Sabah untuk membentuk pentadbiran yang lebih telus, cekap dan berdaya tahan.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan Outcome-Based Integrity (OBI) perlu memastikan setiap inisiatif berkaitan governans, integriti dan antirasuah menghasilkan pencapaian yang nyata serta memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, pendekatan itu antara lain bertujuan mengurangkan risiko ketirisan dan penyelewengan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0 turut memerlukan perubahan budaya kerja dalam kalangan penjawat awam supaya lebih proaktif, berasaskan penilaian risiko dan mengutamakan langkah pencegahan.
“Setiap ringgit dana awam mesti diurus dengan penuh amanah dan memberikan manfaat yang maksimum kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook kelmarin.
Hajiji turut menyeru seluruh penjawat awam supaya terus mempertahankan nilai integriti, memperkukuh semangat kerja berpasukan serta memastikan setiap dasar dan perkhidmatan kerajaan mampu memberikan kesan yang bermakna terhadap kesejahteraan rakyat.
Katanya, integriti tidak seharusnya dilihat hanya sebagai satu prinsip dalam pentadbiran, sebaliknya menjadi asas kepada sistem pemerintahan yang mampu menghasilkan keputusan, perkhidmatan dan manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
Konvensyen KITA 2026 sekali gus menjadi ruang untuk memperkukuh kesedaran dan komitmen terhadap tadbir urus yang baik, integriti serta usaha membanteras rasuah dalam memastikan pentadbiran negeri terus berfungsi secara berkesan dan beramanah. – DAKWAT RAKYAT POST
