TAWAU, 6 Oktober 2026 – Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 yang berlaku di perairan Sandakan, Sabah, malam tadi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di beberapa kawasan Pantai Timur negeri ini.
Kejadian yang berlaku pada jam 9.11 malam itu turut dirasai penduduk di Tawau dan Lahad Datu, termasuk mereka yang berada di bangunan bertingkat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan berpusat kira-kira 48 kilometer timur Lahad Datu dengan kedalaman 10 kilometer.
Di Tawau, gegaran itu turut dirasai penghuni sebuah hotel apabila bangunan berkenaan dilaporkan bergegar selama beberapa saat.
Pembantu Tadbir, Mohd Azmi Ajab berkata, dia mula berasa pening ketika berada di tingkat 10 sebelum menyedari bangunan berkenaan mengalami gegaran.
“Semasa di tingkat 10, saya rasa macam pening dan tertanya-tanya kenapa terasa seperti bergoyang. Kemudian abang ini beritahu memang ada gegaran, sebab itu kami turun semula.
“Tidak lama, hanya beberapa saat, mungkin sekitar empat saat, tetapi saya memang rasa pening,” katanya.
Gegaran sama turut dialami Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Aaron Dennis Dasan yang ketika kejadian berada di tingkat paling atas hotel berkenaan.
Menurutnya, tubuhnya terasa bergerak ke kiri dan kanan sebelum dia bersama rakannya mengambil keputusan untuk turun dari bangunan.
“Ya, ada tadi. Ketika saya berada di tingkat paling atas hotel ini dan baru hendak naik untuk makan, tiba-tiba badan saya terasa bergoyang ke kiri dan kanan.
“Tetapi sekejap sahaja. Harap-harap tidak ada gegaran susulan lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Hamzah Sanudin turut mengakui merasai gegaran yang berlaku pada sekitar jam 9.11 malam itu.
Katanya, pergerakan tersebut menyebabkan dirinya berasa pening sebelum mengetahui kejadian berkenaan merupakan gempa bumi yang berlaku di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Saya memang terasa gegaran pada pukul 9.11 malam. Memang terasa bergoyang dan menyebabkan saya pening.
“Selepas melihat maklumat di Facebook, barulah saya tahu berlaku gegaran di Pantai Timur Sabah dan Tawau turut merasainya,” katanya.
Dalam kenyataannya, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 itu berlaku di perairan Sandakan pada jam 9.11 malam.
Gempa berkenaan dikesan pada koordinat 4.9 darjah Utara dan 118.7 darjah Timur, kira-kira 48 kilometer timur Lahad Datu, dengan kedalaman 10 kilometer.
Gegaran turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah.
MetMalaysia berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan berkaitan kejadian gempa bumi berkenaan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – DAKWAT RAKYAT POST
