TAWAU: Sebuah gudang penyimpanan kayu dan papan di Kilang Hap Seng, Tanjung Batu Laut Log Pond, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran pagi tadi.
Kebakaran kira-kira jam 6 pagi itu memusnahkan gudang jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 3,066 meter persegi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 pagi sebelum menggerakkan 17 anggota bersama empat jentera ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba sembilan minit kemudian dan mendapati api sudah merebak ke seluruh gudang berkenaan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dari bahagian hadapan dan belakang gudang menggunakan sumber air daripada pili bomba.
“Operasi turut dibantu tujuh anggota Pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan yang menjalankan pemadaman dari bahagian kiri bangunan menggunakan pam angkut dan sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.53 pagi selepas hampir dua jam operasi pemadaman dijalankan.
Operasi kemudian diteruskan dengan kerja pemadaman sisa kebakaran dan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan api kembali marak.
Jemishin berkata, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-Dakwat Rakyat Post
