SANDAKAN: Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan bantuan kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah kepada RM90 juta tahun ini berbanding RM70 juta pada tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan akses kepada pendidikan lebih baik, selain membantu penyelenggaraan bangunan, aktiviti pembelajaran dan pengoperasian badan keagamaan.
“Prinsip kita jelas, iaitu Sabah First dan pendidikan untuk semua. Kerajaan hari ini akan terus berpegang kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman.
“Kita tidak melihat bangsa atau agama dalam menyalurkan bantuan, sebaliknya kita melihat keperluan rakyat dan masa depan negeri yang perlu dibangunkan bersama,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib pada Majlis Perasmian Dewan Pusat Kegiatan Murid Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua Sandakan, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, bantuan kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam meningkat secara berperingkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta pada 2023, RM56.75 juta pada 2024 dan RM70 juta tahun lalu.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM155 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, berbanding RM50 juta pada 2020, selain meneruskan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021.
“Semua usaha yang kita laksanakan ini tujuannya hanya satu, iaitu kita mahu memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani masalah kewangan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan modal insan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 turut memberi penekanan kepada pembentukan generasi berpendidikan, berkemahiran, kreatif dan berdaya tahan untuk menjadi penggerak ekonomi serta pembangunan negeri.
Katanya, golongan muda perlu dilengkapi dengan kemahiran dalam bidang baharu yang diperlukan oleh ekonomi masa depan agar mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Mengulas mengenai pembinaan Dewan Pusat Kegiatan Murid SMJK Tiong Hua, Hajiji berkata, kemudahan itu mencerminkan komitmen bersama pihak sekolah, ibu bapa, komuniti, alumni dan sektor swasta dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Beliau berharap dewan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina keyakinan diri, mengasah bakat dan memperkukuh disiplin pelajar, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta berintegriti.
Hajiji turut menyifatkan SMJK Tiong Hua sebagai antara kebanggaan warga Sandakan kerana sekian lama melahirkan anak Sabah yang cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk akademik, perniagaan, kepimpinan dan perkhidmatan awam.
Menurutnya, semangat perpaduan yang ditunjukkan warga sekolah itu melalui pembelajaran bersama pelajar daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama mencerminkan identiti Sabah yang perlu terus dipertahankan.
“Perpaduan bukan slogan. Perpaduan adalah prasyarat kepada kestabilan dan kemajuan negeri kita. Jika kita mahu Sabah terus maju, kita mesti memastikan asas perpaduan ini sentiasa kukuh,” katanya.
Beliau berharap pelajar SMJK Tiong Hua terus memanfaatkan kemudahan dan peluang yang disediakan untuk mengembangkan potensi diri, meningkatkan ilmu pengetahuan serta mengasah kemahiran bagi meneruskan kecemerlangan sekolah itu.-Dakwat Rakyat Post
