MEMBAKUT: Lebih 4,000 kontraktor di seluruh negara mendapat manfaat daripada 582 program latihan yang dilaksanakan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sehingga September lalu bagi meningkatkan kompetensi kontraktor Bumiputera.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, program itu memberi tumpuan kepada latihan teknikal secara praktikal di tapak bagi meningkatkan kemahiran kontraktor, khususnya dalam kalangan kontraktor gred G1.
Katanya, pendekatan berkenaan membolehkan peserta mendapat pendedahan langsung mengenai pelaksanaan kerja di tapak, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka mengendalikan projek dengan lebih berkesan.
“Selain memberikan status Bumiputera di bawah KUSKOP, kita juga memberikan mereka latihan secara langsung di tapak itu sendiri.
“Melalui program ini, kita dapat mendekati kontraktor Bumiputera dan mereka juga lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus memahami tanggungjawab besar mereka dalam membantu menyelesaikan isu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan MADANI KUSKOP sempena lawatan kerjanya ke Binsulok, di sini.
Mohamad berkata, program latihan itu akan diteruskan di lokasi lain bagi memperluas peluang penyertaan dan memastikan lebih ramai kontraktor Bumiputera mendapat manfaat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KUSKOP turut membantu 3,003 syarikat mendapatkan status Bumiputera, termasuk lebih 1,300 kontraktor gred G1 dari Sabah.
Katanya, inisiatif itu akan diteruskan bagi memperkukuh penyertaan kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan serta meningkatkan keupayaan mereka melaksanakan projek yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.-Dakwat Rakyat Post
