KOTA KINABALU: Selepas hampir dua dekad bekerja sebagai juruteknik teknologi maklumat (IT) di Singapura, Jimmy Wong memilih laluan kerjaya berbeza apabila pulang ke Malaysia tiga bulan lalu demi menjaga ibunya dan membina semula kestabilan kewangan.
Lelaki berusia 40 tahun itu kini bekerja sebagai rakan-pemandu e-hailing bersama Maxim di Kota Kinabalu, dengan pendapatan sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan, menurut perkongsiannya.
Jimmy berkata, keputusan kembali ke tanah air memerlukan beliau menilai semula perancangan kerjaya selepas mendapati tawaran gaji bagi pekerjaan berkaitan IT di Kota Kinabalu sukar menandingi pendapatan terdahulunya di Singapura, iaitu antara SGD4,000 hingga SGD5,000 sebulan.
“Saya cuba mencari pekerjaan berkaitan IT selepas pulang ke Malaysia. Namun, selepas membuat kajian, saya menyedari bahawa gaji yang ditawarkan jauh lebih rendah dan sukar bagi saya untuk menampung komitmen kewangan,” katanya.
Beliau berkata, cabaran kewangannya bermula ketika pandemik COVID-19 apabila berdepan kesukaran melunaskan pinjaman perumahan dan hutang kad kredit, yang turut menjejaskan kemudahan perbankannya.
Bagi mencari sumber pendapatan alternatif, Jimmy memutuskan untuk kembali menceburi bidang e-hailing, yang pernah dilakukannya ketika bekerja di Singapura.
Katanya, beliau mula mengenali Maxim ketika tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan kemudian membuat kajian mengenai platform berkenaan sebelum memilihnya sebagai sumber pendapatan.
“Saya sudah memahami cara sistem e-hailing beroperasi kerana pernah memandu di Singapura sebelum ini. Saya mendapati bahawa Maxim menawarkan tambang yang kompetitif dan melihatnya sebagai peluang untuk menarik lebih ramai penumpang, sekali gus meningkatkan jumlah perjalanan dan pendapatan,” katanya.
Menurut Jimmy, pendapatan yang diperoleh menerusi platform itu membantu meningkatkan keyakinannya untuk memperbaiki keadaan kewangan secara berperingkat.
“Maxim telah membantu saya dari segi kewangan. Melalui program-program yang disediakan, saya berpeluang memperoleh pendapatan tambahan dan merancang secara berperingkat bagaimana untuk menyelesaikan masalah kewangan yang saya hadapi,” katanya.
Selain pendapatan, beliau berkata, fleksibiliti waktu bekerja turut menjadi faktor penting kerana membolehkannya mengurus jadual sendiri, meluangkan masa bersama keluarga dan bersukan.
Katanya, kesihatan yang baik penting bagi memastikan beliau mampu terus bekerja dan menjana pendapatan.
“Saya bukan sekadar memandu, malah berpeluang bertemu dengan orang daripada pelbagai latar belakang. Saya boleh merancang jadual sendiri dan masih mempunyai masa untuk bersukan kerana menjaga kesihatan amat penting bagi saya,” katanya.
Berdasarkan pengalamannya, Jimmy menggalakkan orang ramai mempertimbangkan pekerjaan sebagai rakan-pemandu e-hailing, sama ada secara sepenuh masa atau sambilan, mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Beliau berkata, peluang menjana pendapatan memerlukan usaha serta kesediaan individu untuk memanfaatkan peluang yang tersedia.
Bagi Jimmy, kepulangannya ke Malaysia bukan sekadar menamatkan kerjaya terdahulu di Singapura, sebaliknya membuka lembaran baharu yang membolehkannya memberi perhatian kepada keluarga, mengurus masa dengan lebih fleksibel dan berusaha memulihkan kestabilan kewangan.-Dakwat Rakyat Post
