TAWAU: Remaja lelaki berada dalam keadaan stabil selepas dipatuk ular jenis Sumatran Spitting Cobra (Naja sumatrana) di hadapan sebuah kedai tayar di Batu 3, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Mangsa, Muhammad Danish Isyraf Bongging berusia 15 tahun dihantar ke Hospital Tawau menggunakan kenderaan ahli keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 malam.
Beliau berkata, seramai lima anggota bersama jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.03 malam.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seekor ular jenis Sumatran Spitting Cobra berada di hadapan sebuah kedai tayar.
“Mangsa sudah dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala anggota kami bertindak menangkap ular berkenaan bagi memastikan keselamatan di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jemishin berkata, operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam selepas pihaknya memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihaknya turut menghubungi Hospital Tawau bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan mangsa dan dimaklumkan remaja berkenaan berada dalam keadaan stabil.-DAKWAT RAKYAT POST
