TAWAU: Tembakan amaran terpaksa dilepaskan polis selepas seorang suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol bertindak agresif menyerang anggota menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut di Kampung Titingan, di sini, Jumaat lalu.
Suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an itu turut memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika dikejar, sebelum berjaya ditangkap dalam operasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan menjalankan operasi tangkapan.
Katanya, operasi itu dijalankan susulan kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun yang dilaporkan berlaku pada hari sama, kira-kira jam 3.50 pagi.
“Dalam kejadian samun itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,500.
“Ketika operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, dua anggota polis mengalami kecederaan dalam kejadian itu, manakala sebatang besi turut dirampas.
Beliau berkata, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Mengulas penularan video di media sosial yang memaparkan anggota polis melepaskan tembakan di perkampungan atas air berkenaan, Rosdi menjelaskan kejadian itu berlaku ketika operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu.
“Video tular itu memaparkan tembakan amaran ketika operasi tangkapan, bukannya kejadian berbalas tembakan atau kejadian baharu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan, manakala polis masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Inspektor Norhafizah Hussin menerusi talian 012-527 9004,” katanya
Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung video tular berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
