LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 240 liter petrol dan sebuah motosikal jenis Yamaha di perairan Felda Sahabat, Tungku, di sini, hari ini.
Rampasan menerusi operasi bersepadu Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 itu dianggarkan bernilai keseluruhan RM50,000.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali, berkata operasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat risikan sebelum pasukan mengesan sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, bot itu dikesan kira-kira 0.35 batu nautika barat daya Kampung Sinakut Tengah.
“Sebaik sahaja menyedari kehadiran bot ronda penguat kuasa yang cuba menghampiri untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju ke arah pesisir pantai sebelum meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 12 gelen berisi petrol dengan jumlah anggaran 240 liter serta sebuah motosikal jenis Yamaha.
Kesemua barangan kawalan dan kenderaan itu disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran secara tidak sah.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.
Bot bersama semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan serta rondaan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan dan memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999.-DAKWAT RAKYAT POST
