SANDAKAN: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) meneruskan usaha membantu golongan memerlukan menerusi Program Ziarah Amal dengan menyantuni empat institusi kebajikan di Sandakan, hari ini.
Institusi yang menerima kunjungan dan sumbangan ialah Pusat Latihan Orang Buta di Batu 12, Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya di Batu 1½, Pusat Anak Yatim Al-Yakin di Batu 1½ serta Rumah Warga Tua Sri Harapan.
Sumbangan turut disalurkan kepada wakil Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Indah Jaya, Sandakan dan PPDK Beluran.
Program anjuran Biro Kebajikan dan Biro Lawatan MUTIARA GRS itu diketuai Yang Dipertuanya, Datin Seri Datuk Juliah Salag, yang juga isteri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Datuk Anna Bell; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa dan isterinya, Datin Merdiline Albaris; serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson dan isterinya, Datin Ivy Wong.
Juliah berkata, kunjungan ke Sandakan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MUTIARA GRS menyalurkan bantuan kepada institusi kebajikan di beberapa daerah di Sabah.
Menurutnya, inisiatif itu diharap dapat meringankan beban golongan yang memerlukan selain menjadi tanda keprihatinan terhadap kebajikan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak berkeperluan khas, anak yatim dan warga emas.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak, khususnya golongan berkemampuan, untuk tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
