PUTATAN: Sebuah rumah teres di Taman Teluk Villa, Putatan, terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian awal pagi tadi, yang turut mengakibatkan tiga kereta dan sebuah motosikal mengalami kerosakan akibat kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran bin Jabri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 2.25 pagi sebelum jentera tiba di lokasi empat minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres jenis kekal berkeluasan 20 x 80 kaki persegi.
“Kebakaran turut melibatkan tiga buah kereta, iaitu Toyota Vios dan Toyota Wish yang masing-masing terbakar kira-kira 30 peratus, manakala Honda HR-V terbakar 80 peratus.
“Sebuah motosikal Honda EX5 turut terjejas dengan anggaran 10 peratus terbakar,” katanya.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera bomba.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.52 pagi sebelum pasukan meneruskan kerja-kerja pemadaman bara api bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Operasi melibatkan anggota BBP Putatan dengan bantuan BBP Kota Kinabalu, selain agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity (SE).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.-DAKWAT RAKYAT POST
