KOTA KINABALU: Penganjuran The Big Sabah Car Show 2026 berpotensi menjadi antara acara pelancongan utama Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 (Visit Sabah 2027), dengan sasaran menarik kira-kira 20,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, bersama Pembantu Menteri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, menyambut baik penganjuran acara anjuran CULT Event Management (CULT Malaysia) yang dijadual berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini di Sabah International Convention Centre (SICC).
Sokongan itu dizahirkan ketika menerima kunjungan hormat delegasi CULT Malaysia bersama wakil Breeze Magazine bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam mempromosikan pelancongan Sabah menerusi acara automotif, gaya hidup dan penglibatan komuniti.
Jafry turut menyokong usaha menjadikan acara berkenaan sebagai sebahagian daripada program pelancongan negeri melalui penyertaannya dalam Kalendar Acara Pelancongan Sabah.
Penganjuran itu dilihat mampu memperkukuh daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, malah menawarkan acara berskala besar dalam sektor automotif dan gaya hidup.
Dr Andi pula menyambut baik inisiatif berkenaan, khususnya potensi penglibatan komuniti automotif, golongan belia serta pemain industri tempatan dalam menyokong aspirasi Visit Sabah 2027.
Acara selama dua hari itu merangkumi dua program utama, iaitu Borneo 4×4 Outdoor Show 2026 pada 31 Oktober, diikuti CULT Car Culture Festival 2026 pada 1 November.
Dengan sasaran kira-kira 20,000 pengunjung, penganjuran itu dijangka berpotensi merancakkan ekonomi setempat, khususnya sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perniagaan tempatan.
Selain pameran kenderaan dan aktiviti gaya hidup automotif, penganjur turut mencadangkan Kempen Pelekat Kenderaan Visit Sabah 2027 sebagai inisiatif promosi yang melibatkan komuniti permotoran.
Menerusi cadangan itu, pelekat khas yang memaparkan identiti dan mesej pelancongan Sabah akan digunakan pada kenderaan peserta sebagai medium promosi bergerak bagi memperluas kesedaran mengenai Visit Sabah 2027.
Sementara itu, Breeze Magazine menyatakan komitmen membantu mempromosikan acara berkenaan dan memperluas publisiti pelancongan Sabah melalui penerbitan majalah, liputan editorial, fotografi serta platform digital dan rangkaian media.
Pengarah Program CULT, Azlin Awang Chee, menyifatkan sambutan positif daripada kepimpinan kementerian sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kedudukan CULT sebagai acara tahunan yang berpotensi menarik pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei dan negara jiran.
Menurut pihak penganjur, acara seumpama itu bukan sahaja menghimpunkan peminat automotif, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan pelancongan berasaskan acara serta membuka ruang kerjasama antara sektor swasta, industri kreatif dan agensi pelancongan.
CULT Malaysia berharap kerjasama dengan kementerian serta rakan media dapat diteruskan bagi memperluas skala penganjuran pada masa akan datang, sekali gus membantu meletakkan Sabah sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan acara di rantau Borneo.-DAKWAT RAKYAT POST
