PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C di perairan Selangor selepas disyaki melanggar syarat lesen, selain mendapati enam kru warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen yang sah.
Kedua-dua vesel itu ditahan kapal peronda Maritim Malaysia pada jam 2.46 petang dan 2.55 petang, semalam, di kedudukan kira-kira 8.8 dan 9.5 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sungai Besar.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata vesel pertama dikendalikan seorang tekong warga Malaysia berusia 49 tahun bersama tiga awak-awak warga Myanmar berusia antara 32 hingga 49 tahun.
Vesel kedua pula dikendalikan tiga kru warga Myanmar, termasuk tekong, yang berusia antara 29 hingga 41 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemua enam warga Myanmar berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau dokumen kebenaran berkaitan untuk bekerja di atas vesel berkenaan.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua vesel disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari daratan, sekali gus melanggar syarat lesen yang ditetapkan.
Dalam operasi itu, Maritim Malaysia turut merampas kira-kira 350 kilogram ikan campur.
Kedua-dua vesel bersama hasil rampasan kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 berhubung dakwaan pelanggaran syarat lesen, termasuk aktiviti menangkap ikan di kawasan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan serta penggajian kru warga asing tanpa kelulusan pihak berkuasa perikanan.
Aspek berkaitan dokumen pengenalan diri dan status imigresen kru warga Myanmar turut dirujuk untuk siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi untuk melakukan pelanggaran undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan aktiviti mencurigakan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerusi talian 013-660 6652.-DAKWAT RAKYAT POST
