KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putrajaya menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang perniagaan serta memperluas pasaran produk di Sabah.
Kerjasama itu turut membuka ruang kepada pemasaran produk PPK Putrajaya yang bersesuaian dengan keperluan dan permintaan pasaran di negeri ini, sekali gus membina jaringan perniagaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
MoU berkenaan ditandatangani Timbalan Pengerusi PPNS, Datuk Ng Loi Tect; wakil Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah, Mohammad Utung; Pengerusi PPK Putrajaya, Datuk Ghazali Hassan; serta Pengarah LPP Wilayah Persekutuan dan Labuan, Jafrin Kaingud.
Majlis pemeteraian itu berlangsung sempena Majlis Lambaian Kasih Datuk Mohd Razali Wahab, Setiausaha Persekutuan Sabah, anjuran PPNS di Promenade Hotel, di sini, malam tadi.
Majlis berkenaan turut disaksikan Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Mohd Razali.
Dalam ucapannya, Mohd Nazri merakamkan penghargaan kepada Mohd Razali atas jasa dan khidmat bakti sepanjang menjalankan tugas di Sabah, selain menyifatkannya sebagai sahabat karib.
Beliau berkata, sumbangan Mohd Razali sepanjang berkhidmat di negeri ini amat dihargai dan berharap hubungan persahabatan yang terjalin akan terus berkekalan meskipun beliau kembali ke Kuala Lumpur selepas bersara.
Mohd Nazri turut berharap Mohd Razali akan terus mengunjungi Sabah dan tidak melupakan negeri yang pernah menjadi tempat beliau menabur bakti.
Sementara itu, Mohd Razali berkata majlis berkenaan menjadi kenangan bermakna sempena persaraannya selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam sektor awam.
Beliau berkata, Sabah sentiasa dekat di hatinya sejak kunjungan pertama, malah menyifatkan negeri ini sebagai sebuah tempat yang indah, luas dan kaya dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kerjasama erat yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya, sekali gus membantu memudahkan pelaksanaan tanggungjawab beliau di Sabah.
Mohd Razali, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berkata tugasan terakhirnya ialah menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-150 sempena Mesyuarat Raja-Raja di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Beliau menyifatkan peluang menamatkan perkhidmatan dengan pengalaman dan kenangan bermakna di Sabah sebagai penutup indah kepada perjalanan lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam.-DAKWAT RAKYAT POST
