TAWAU: Penduduk di daerah ini digesa meningkatkan langkah pencegahan bagi melindungi kesihatan daripada risiko jerebu, terutama ketika cuaca panas dan musim kemarau yang boleh memburukkan kualiti udara.
Pengerusi Pertubuhan Rakan Lestari Tawau Sabah, Datuk Abd Malik Yusof, berkata jerebu bukan sahaja menjejaskan jarak penglihatan, malah berpotensi mengundang pelbagai masalah kesihatan, khususnya kepada golongan rentan.
Beliau berkata, kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang menghidap asma dan penyakit paru-paru perlu lebih berhati-hati berikutan risiko mengalami gejala kesihatan yang lebih serius apabila terdedah kepada udara tercemar.
“Pendedahan kepada udara berjerebu boleh menyebabkan iritasi mata, hidung dan tekak, batuk serta kesukaran bernafas.
“Sehubungan itu, orang ramai perlu memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan mengikuti hebahan pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil berdasarkan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abd Malik berkata, penduduk disarankan mengurangkan aktiviti luar, terutama apabila bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, selain menangguhkan aktiviti sukan dan rekreasi mengikut tahap pencemaran udara.
Katanya, penggunaan pelitup muka jenis respirator N95 yang sesuai dan dipakai dengan betul turut disarankan bagi individu yang perlu berada di luar ketika jerebu.
“Penduduk juga digalakkan menutup pintu dan tingkap ketika udara luar tercemar serta menggunakan penapis udara jika tersedia bagi mengurangkan kemasukan zarah pencemar ke dalam rumah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha menangani jerebu tidak seharusnya tertumpu kepada langkah perlindungan diri semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan bersepadu untuk mengawal punca pencemaran.
Menurutnya, pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan tanah, pelepasan asap kenderaan serta aktiviti perindustrian antara faktor yang menyumbang kepada pencemaran udara.
Beliau berkata, cuaca kering dan pergerakan angin juga boleh menyebabkan asap serta zarah halus tersebar ke kawasan penempatan, sekali gus meningkatkan risiko kepada penduduk.
“Justeru, masyarakat perlu mengelakkan pembakaran terbuka, menguruskan sisa domestik dengan betul dan melaporkan kejadian kebakaran atau pembakaran haram kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama antara masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi meningkatkan kesedaran awam serta memastikan tindakan pencegahan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Abd Malik turut menggesa supaya kempen kesedaran alam sekitar, program pendidikan komuniti dan aktiviti penanaman pokok diperkasakan bagi memupuk tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
Beliau berkata, usaha berterusan dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan kualiti udara terpelihara serta kesejahteraan penduduk Tawau terus terjamin.
“Udara bersih ialah keperluan asas kehidupan dan tanggungjawab bersama. Semua pihak perlu berganding bahu membina Tawau yang lebih sihat, selamat dan lestari demi generasi kini dan akan datang,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
