SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menggesa pihak berkuasa memperketat penguatkuasaan terhadap lori balak susulan kemalangan di Batu 27, Jalan Labuk, di sini, yang mengorbankan seorang wanita yang sedang berniaga di gerai tepi jalan.
Beliau berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengangkutan balak, khususnya membabitkan keselamatan kenderaan, had muatan, kelayakan pemandu serta pematuhan syarat perjalanan.
Menurutnya, kemalangan berkenaan dilaporkan berlaku apabila sebuah lori balak hilang kawalan sebelum merempuh lori pembawa barang, kenderaan yang diparkir dan gerai di tepi jalan.
“Mangsa dilaporkan meninggal dunia di Klinik Ulu Dusun, manakala beberapa individu lain mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.
“Bagaimanakah lori balak boleh berada di jalan raya pada waktu siang, ketika orang ramai sedang menjalankan urusan harian, berniaga dan menggunakan jalan raya untuk mencari rezeki?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suhaimi berkata, siasatan menyeluruh dan telus perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk keadaan teknikal lori, muatan balak, kelajuan serta faktor keadaan jalan.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa menyemak pematuhan waktu operasi dan laluan lori balak, termasuk sebarang sekatan atau syarat perjalanan yang berkuat kuasa di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan saksi bahawa pemandu lori balak meninggalkan lokasi kejadian perlu disahkan dan disiasat segera oleh polis.
Katanya, tindakan sewajarnya hendaklah diambil terhadap pemandu atau mana-mana pihak yang dikenal pasti bertanggungjawab berdasarkan hasil siasatan.
Beliau turut mencadangkan pemeriksaan berkala dan penguatkuasaan dipertingkatkan terhadap lori balak bagi memastikan kenderaan berkenaan mematuhi piawaian keselamatan serta undang-undang jalan raya.
“Penguatkuasaan sepatutnya berfungsi untuk mencegah tragedi, bukannya sekadar bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku.
“Apabila kemalangan membabitkan kehilangan nyawa, masyarakat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan tindakan sewajarnya,” katanya.
Suhaimi turut menggesa polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi berkaitan memberikan penjelasan mengenai langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan serta memastikan siasatan dijalankan secara profesional.
Beliau berkata, penilaian semula aspek keselamatan pengangkutan balak di laluan berisiko juga penting, terutama di kawasan yang digunakan bersama oleh penduduk, peniaga kecil dan pengguna jalan raya lain.
“Nyawa rakyat mesti menjadi keutamaan. Penguatkuasaan tidak boleh bersifat bermusim dan keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan.
“Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk kita mula bertindak,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
