Jakarta: Empat lelaki maut ketika memadam kebakaran hutan di sebuah taman negara di Pulau Jawa, Indonesia, menurut Kementerian Perhutanan pada Jumaat, ketika negara Asia Tenggara itu berdepan krisis kebakaran dan asap toksik yang berlarutan selama beberapa bulan.
Keempat-empat mangsa terperangkap ketika memadam kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, pada Khamis, menurut kenyataan kementerian itu, tanpa memperincikan identiti mereka.
Dua lagi individu mengalami kelecuran serius.
Jurucakap taman negara berkenaan, Endrip Wahyutama, berkata dua daripada mangsa yang maut adalah pegawai taman negara, manakala dua lagi pengawal keselamatan yang membantu mereka.
Mereka terperangkap dalam kepungan api dan asap tebal. Tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia kemudian di hospital.
Seorang anggota bomba sukarela dan pengawal keselamatan dari sebuah hotel berhampiran yang turut tampil membantu sedang menerima rawatan perubatan, kata Endrip.
“Kejadian ini menjadi peringatan bahawa operasi memadam kebakaran hutan dan tanah mempunyai risiko yang tinggi,” menurut kementerian itu.
Kementerian berkenaan memaklumkan berlaku peningkatan jumlah titik panas yang dikesan satelit, iaitu kawasan dengan suhu luar biasa tinggi yang tidak semestinya menunjukkan kebakaran berasingan.
Menjelang petang Khamis, jumlah titik panas di seluruh Indonesia meningkat kepada 799 berbanding 372 sehari sebelumnya.
Kebanyakannya dikesan di Kalimantan Tengah, sebuah wilayah di Pulau Borneo yang dikongsi Indonesia dengan Malaysia dan Brunei, diikuti bahagian selatan Pulau Sumatera.
“Kalimantan Tengah merekodkan peningkatan titik panas paling besar, justeru operasi di lapangan sedang dipertingkatkan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian berkenaan turut menyuarakan kebimbangan khusus terhadap kawasan sekitar Taman Negara Tanjung Puting, yang menjadi habitat penting bagi orang utan terancam.
Operasi pengeboman air menggunakan pesawat dan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan turut terjejas akibat jarak penglihatan rendah disebabkan asap kebakaran, menurut kementerian itu.
Beberapa lokasi di Sumatera dan Kalimantan mengalami keadaan kualiti udara “tidak sihat hingga sangat tidak sihat, malah berbahaya di kawasan tertentu” akibat jerebu daripada kebakaran berkenaan, sehingga menyebabkan langit di sesetengah kawasan bertukar jingga.
“Jika keadaan udara bertambah buruk, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar rumah dan memakai pelitup muka apabila berada di luar,” menurut kenyataan itu.
Kredit sumber: Harian Metro – Disiarkan pada 16 Oktober 2026
