Segamat: Suami isteri masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada rumah mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along), Isnin lalu.
Majistret Nor Fadilah Johanuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Aizat Azwan Wan Salleh, 40, dan Prima Septia Lily, 44, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan dituduh bersama-sama dengan niat hendak menyebabkan kebinasaan kepada harta iaitu rumah mangsa dengan cara menyimbah cat berwarna merah di Jalan Mida 2/1, Taman Mida 2, di sini, 11.21 pagi, 12 Oktober lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Balqis Mohd Hilmi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Kredit sumber: Harian Metro – Disiarkan 16 Oktober 2026
