Putrajaya: Tiada syarikat perladangan Malaysia yang dikenal pasti terbabit dalam aktiviti pembakaran yang mencetuskan jerebu di Indonesia, berdasarkan semakan silang dengan syarikat tempatan yang mempunyai konsesi sawit di negara berkenaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semakan mendapati kebanyakan aktiviti pembakaran berlaku di luar kawasan konsesi sawit milik syarikat Malaysia.
“Jemaah Menteri hari ini membincangkan beberapa perkara berkait isu jerebu yang melanda dan terus memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
“Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Menteri Peladangan dan Komoditi) memaklumkan semakan silang dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan bahawa kebanyakan daripada apa yang disaksikan, aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai keadaan cuaca kering di Kalimantan yang tidak menerima hujan lebih 100 hari, sekali gus menjadi antara faktor yang memburukkan situasi kebakaran.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah ladang milik Genting Plantations seluas lima hektar dilaporkan terjejas selepas api merebak dari kawasan luar ke dalam ladang berkenaan.
Katanya, kebakaran itu sudah dipadamkan dan bukan berpunca daripada aktiviti pembakaran di dalam ladang terbabit.
“Api dikatakan mara dari luar, namun berjaya dipadamkan dan saiz ladang itu adalah kira-kira lima hektar, tapi (punca kebakaran) bukan berlaku dari dalam (ladang), cuma api (merebak) dari luar,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus khas dengan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia bagi menangani isu berkenaan.
Kredit sumber: Harian Metro – Disiarkan pada 16 Oktober 2026
