KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menyelesaikan proses penyerahan seorang nelayan warga Indonesia bersama bot pemancingnya kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Natuna di sempadan perairan Malaysia-Indonesia, pada 17 Oktober lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Dato’ Haji Mazlan bin Mat Rejab, berkata nelayan dikenali sebagai Bachtiar, 61, ditemukan selamat di perairan Pulau Tioman pada 15 Oktober lalu selepas bot pemancing dinaikinya kehabisan minyak dan hanyut di laut.
Menurutnya, Kapal Maritim (KM) SEBATIK kemudian diatur gerak untuk mengiringi bot berkenaan bersama mangsa dari Pulau Tioman ke lokasi pertemuan yang ditetapkan dengan RSC Natuna.
Proses penyerahan kepada aset BASARNAS, iaitu bot jenis Rigid Inflatable Boat (RIB) 02 Natuna, berjaya dilaksanakan dengan selamat pada jam 1.20 tengah hari.
“Dengan selesainya proses penyerahan ini, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) serta pemindahan mangsa telah ditamatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang mangsa berada di Pulau Tioman, kerjasama antara Maritim Malaysia, Balai Polis Tioman, komuniti setempat termasuk Tok Empat Juara Pulau Tioman serta Konsulat Republik Indonesia memastikan urusan kebajikan, pemeriksaan kesihatan, dokumentasi dan logistik mangsa berjalan lancar.
Menurutnya, pihak Konsulat Republik Indonesia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Maritim Malaysia Negeri Pahang dan semua agensi terlibat, atas bantuan serta keprihatinan yang diberikan sepanjang insiden berkenaan.
Mazlan berkata, kerjasama rentas sempadan dan penyelarasan berkesan antara agensi keselamatan kedua-dua negara amat penting bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar serta keselamatan mangsa terjamin sehingga diserahkan kepada pihak berkuasa negara asal.
Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan maritim dalam serta luar negara bagi memastikan keselamatan nyawa di laut sentiasa menjadi keutamaan.-DAKWAT RAKYAT POST
