SEMPORNA: Projek pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul yang dijadual siap pada 4 Mei 2028 bakal menjadi penanda aras pembangunan kemudahan keselamatan di kawasan sempadan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata projek itu penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan aset keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman.
Beliau berkata, semua pihak berkaitan, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi pelaksana, perlu memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
“Kita berharap JKR, kontraktor yang dilantik dan agensi berkaitan dapat menyiapkan pangkalan ini kerana ia penting sebagai penanda aras kepada mana-mana projek selepas ini yang memerlukan pangkalan operasi hadapan, terutama di kawasan sempadan negara.
“Kita memerlukan persediaan, terutama aset-aset untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul bagi meninjau pelaksanaan projek berkaitan keselamatan negara di kawasan berkenaan, hari ini.
Mustapha berkata, projek FOB Pulau Mabul sebelum ini mengalami kelewatan, namun pelantikan kontraktor penyelamat membolehkan pelaksanaannya diteruskan dengan perkembangan semasa menunjukkan kemajuan yang baik.
Katanya, perkembangan projek itu turut dipantau menerusi usaha berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya bagi memastikan projek keselamatan yang mengalami kelewatan dapat disiapkan.
Beliau berkata, projek di Pulau Ligitan sudah siap, manakala pelaksanaan projek di Pulau Sipadan tidak berdepan masalah.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkaitan dapat memastikan projek FOB Pulau Mabul disiapkan mengikut tempoh ditetapkan bagi memperkukuh keupayaan operasi keselamatan di kawasan sempadan.
Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata, sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri yang diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) turut diagihkan kepada 128 anggota dan petugas yang berkhidmat di kawasan berkenaan.
Katanya, penerima terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Marin serta kakitangan Taman-Taman Sabah yang turut memainkan peranan menjaga keselamatan dan memelihara keindahan pulau-pulau berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
