JAKARTA: Puluhan orang utan yang diancam kepupusan berjaya diselamatkan sejak beberapa minggu lalu daripada kebakaran hutan yang merebak merentasi Indonesia, kata kumpulan pemeliharaan.
Kebakaran yang mencetuskan pencemaran berpanjangan selama beberapa bulan itu telah menyebabkan langkah penutupan sekolah, meningkatkan kes penyakit pernafasan dalam kalangan orang awam serta haiwan dan mengehadkan kegiatan luar di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Timor-Leste.
Tahap pencemaran mencatatkan bacaan tidak sihat dan amat tidak sihat di seluruh rantau ini pada 18 Oktober, sekali gus menyelubungi kebanyakan kawasan di selatan Asia Tenggara dengan jerebu beracun.
Syarikat pemantau mutu udara yang berpangkalan di Switzerland, IQAir, sekali lagi meletakkan Singapura dan Kuala Lumpur dalam senarai lima bandar raya utama paling tercemar di dunia.
Ini berikutan kebakaran di pulau Borneo dan Sumatera yang terus mengeluarkan asap tebal, diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino.
Di Indonesia, pelbagai kumpulan sedang berusaha menyelamatkan hidupan liar, termasuk orang utan, daripada kebakaran berkenaan.
Pada 17 Oktober, Agensi Pemuliharaan Kalimantan Barat, Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) dan organisasi bukan pemerintah (NGO) Indonesia, Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (Yiari), telah memindahkan 51 orang utan dari beberapa lokasi di wilayah itu sejak 6 Ogos lalu.
Manakala angka daripada Kementerian Kehutanan Indonesia minggu ini menunjukkan jumlah orang utan yang diselamatkan sejak beberapa bulan lalu di Kalimantan boleh mencecah sehingga 96 ekor.
Operasi menyelamat terbaharu dilakukan pada 17 Oktober, apabila tiga agensi pemuliharaan menyelamatkan seekor orang utan jantan berusia 20 tahun di kampung Hampangen di Kalimantan Tengah, Pulau Borneo.
“Proses pemindahan telah dijalankan dengan sangat berhati-hati,” kata agensi berkenaan.
“Selepas orang utan itu dibius, pasukan perubatan dengan segera menjalankan pemeriksaan kesihatan sebelum membawa haiwan berkenaan ke pusat rehabilitasi,” tambahnya.
Kementerian Pengangkutan Indonesia turut memaklumkan bahawa kira-kira 2,400 penerbangan di seluruh negara telah terjejas akibat jerebu sejak pertengahan Ogos.
“Jerebu mengurangkan jarak penglihatan di sekitar lapangan terbang, yang boleh menyebabkan kelewatan, gangguan dan penerbangan dibatalkan. Setiap keputusan operasi dibuat dengan keutamaan tertinggi diberikan kepada keselamatan,” kata kementerian itu.
Pakar sains atmosfera di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Wang Jingyu, berkata rantau ini kini berdepan fenomena cuaca El Nino yang teruk.
Disebabkan “fenomena El Nino di seluruh Asia Tenggara ini, suhu permukaan laut menjadi lebih sejuk daripada biasa”, tambahnya.
“Dalam keadaan ini, suhu permukaan laut yang lebih sejuk bermakna kita tidak mempunyai penyejatan yang mencukupi daripada lautan, sekali gus menyebabkan hujan tidak mencukupi.
“Bila tiada hujan yang cukup, kebakaran sukar untuk dipadamkan,” katanya.
Kredit sumber: AFP/Berita Harian Singapura
