LAHAD DATU: Orang ramai, khususnya penduduk di daerah ini, diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca kering yang menyaksikan Stesen Meteorologi Lahad Datu merekodkan lapan hari berturut-turut tanpa hujan sehingga 20 Oktober lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid, berkata larangan pembakaran terbuka dikeluarkan berikutan keadaan cuaca berkenaan yang boleh meningkatkan risiko berlakunya kebakaran.
Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui BBP Lahad Datu akan melaksanakan rondaan bagi memantau keadaan serta memastikan orang ramai mematuhi perintah larangan tersebut.
Beliau berkata, orang ramai perlu mengelakkan sebarang aktiviti yang berpotensi mencetuskan kebakaran, terutama ketika cuaca panas dan kering.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka serta mengelakkan kegiatan yang boleh mencetuskan kebakaran.
“Sekiranya mengesan aktiviti pembakaran terbuka, orang ramai diminta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa,” kata Sumsoa ketika dihubungi.
Kegagalan mematuhi undang-undang berkaitan pembakaran terbuka boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Sehubungan itu, penduduk diminta memainkan peranan bersama dalam mencegah kebakaran dengan sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan sepanjang tempoh cuaca kering.
Orang ramai juga diingatkan bahawa kebakaran boleh dicegah melalui tindakan dan sikap bertanggungjawab setiap individu.-DAKWAT RAKYAT POST
