TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara maksimum 40 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja ladang, dalam kejadian di Ladang Tiger, Sime Darby Plantation, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos memerintahkan tertuduh, Lipus Linus, 53, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 19 Julai 2023.
Tertuduh turut diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi proses pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga Indonesia itu didakwa membunuh Herman Muhtar, 33, di Ladang Tiger, Sime Darby Plantation, di sini, antara jam 11.25 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 19 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam tertuduh Zahbia Ophent, dalam mitigasinya memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan dan mendakwa isteri dan anaknya dibunuh oleh mangsa namun dakwaan itu tidak disokong sebarang bukti.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillanny Siji kemudian memohon tertuduh dijatuhi hukuman mati dengan mengambil kira fakta kes, termasuk tertuduh dan mangsa tidak mengenali antara satu sama lain.
Sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, beliau memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara maksimum 40 tahun.
Selepas mendengar hujahan dan mitigasi, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara maksimum 40 tahun.
Seramai 21 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga warga Indonesia dipercayai keluar memancing bersama dua rakannya di kawasan berhampiran ladang berkenaan sebelum beredar terlebih dahulu meninggalkan mereka di situ.
Beberapa minit kemudian, dua rakannya terdengar jeritan mangsa dan melihat tertuduh melalui tempat mereka memancing sambil membawa sebilah tombak.
Rakan mangsa yang ketakutan bertindak melarikan diri bagi melaporkan kepada rakan lain sebelum menemukan mayat mangsa terbaring dan berlumuran darah di kawasan ladang.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka pada kepala, tangan, dada dan perut.
Pemeriksaan Jabatan Kimia Malaysia kemudian menemukan Deoxyribonucleic Acid (DNA) tertuduh pada batang tombak yang digunakan bagi membunuh mangsa.-DAKWAT RAKYAT POST
