SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, bulan lalu.
Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, di sini, hari ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 28 September lalu.
Beliau turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Datuk Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily diwakili oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Hargai sokongan orang ramai
Terdahulu, Shuhaily ketika ditemui berkata, beliau berterima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberi sokongan daripada sudut doa dan kiriman mesej.
Beliau berkata, sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat itu amat bermakna ketika beliau berdepan proses perundangan.
“Itu yang membuatkan saya mempunyai kekuatan dan juga keyakinan dalam meneruskan proses perundangan ini,” katanya pada sidang media ringkas di lobi Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, pagi ini.
Mohd Shuhaily berkata, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menjalankan proses perundangan mengikut aturan sewajarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sidang media itu adalah yang terakhir daripadanya berhubung proses perundangan berkenaan.
“Ini adalah sidang media terakhir saya berhubung proses perundangan ini. Selepas proses di mahkamah selesai nanti, peguam saya akan bercakap bagi pihak saya,” katanya.
Shuhaily, tiba di kompleks mahkamah jam 7.30 pagi sebelum dilihat bersarapan di kantin.
Turut hadir sebagai tanda sokongan ialah Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Kehadiran anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut dipertingkatkan di kompleks mahkamah, dengan hanya kakitangan mahkamah dan polis dibenarkan meletakkan kenderaan di dalam kawasan berkenaan.
Pada 17 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan Jabatan Peguam Negara meminta beberapa penambahbaikan terhadap kertas siasatan, termasuk penjelasan tambahan dan tindakan siasatan lanjut.
Kertas siasatan itu sebelum ini dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selepas polis merakam keterangan 25 saksi.
Kredit sumber: Berita Harian
